BELAIT, 1 DIS – Bagi memupuk semangat kesukanan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah (SBC) menganjurkan Hari Sukan pada 1 dan 3 Disember di Kompleks Sukan Batalion Lumut.
Acara tahunan tersebut telah disertai oleh lebih 400 orang pelajar dan pelatih IBTE SBC. Antara acara yang dipertandingkan ialah lari pecut 50 meter (m), 100m, 200m, 400m, lompat jauh, relay, lempar cakera, rejam lembing dan lontar peluru.
Hadir sebagai tetamu kehormat bagi merasmikan acara tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli, yang dijemput oleh Ketua Aktiviti Kokurikulum, Muhammad Afif bin Abu Bakar.
Dalam ucapan pembukaannya, Muhammad Afif menerangkan bahawa hari sukan ini adalah acara tahunan yang sangat dinanti-nantikan oleh warga kampus, terutamanya selepas pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
“Saya percaya semua pelajar dan guru yang menyertai acara ini akan mengambil peluang untuk mencabar diri mereka secara sihat dan adil,” tambahnya.
Seterusnya, mereka berarak mengikut rumah sukan masing-masing iaitu Pasukan Pahlawan, Panglima, Perkasa dan Perwira, yang disusuli dengan cogan kata bagi menaikkan semangat kesukanan.
Tetamu kehormat sempat menyampaikan pingat kepada para peserta semasa sesi pagi. Acara tersebut diteruskan pada sebelah petang dan akan bersambung pada 3 Disember.
