Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar Indonesia serbu tempat perlindungan pelarian Rohingya

    JAKARTA, 27 DIS – Ratusan pelajar universiti di wilayah paling barat Indonesia menyerbu tempat perlindungan sementara untuk lebih 100 orang pelarian Rohingya kelmarin, memaksa mereka untuk pergi dalam penolakan terbaharu terhadap minoriti Myanmar yang teraniaya.

    Lebih 1,500 pelarian Rohingya tiba di pantai wilayah Aceh sejak pertengahan November dalam apa yang dikatakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai penghijrahan terbesar selama lapan tahun. Beberapa bot mereka disekat oleh penduduk tempatan dan dalam beberapa kes telah diusir kembali ke laut.

    Para pelajar, kebanyakan memakai jaket dengan lambang universiti yang berbeza, memasuki dewan majlis kerajaan di ibu kota Banda Aceh di mana 137 pelarian Rohingya tinggal.

    Para pelajar menuntut mereka dipindahkan ke pejabat imigresen tempatan supaya mereka boleh dihantar pulang, menurut rakaman yang dilihat oleh AFP.

    Rakaman itu menunjukkan pelajar melaungkan ‘halau mereka’ dan ‘tolak Rohingya di Aceh’. Para pelajar juga dilihat menendang barang-barang milik Rohingya. Beberapa wanita dan kanak-kanak menangis manakala lelaki yang sedang solat memandang ke tanah.

    Penunjuk perasaan juga terlibat dalam pergaduhan dengan polis yang mengawal pelarian yang ketakutan tetapi pegawai akhirnya membenarkan pemindahan mereka oleh pelajar, menurut seorang wartawan AFP di tempat kejadian.

    Pelajar terbabit membakar tayar dan menyediakan lori untuk pemindahan Rohingya. Polis membantu mereka menaiki kenderaan sebelum mereka dibawa ke pejabat kerajaan lain berdekatan, wartawan AFP memerhati.

    Polis Banda Aceh tidak menjawab permintaan AFP untuk mendapatkan komen.

    “Kami membantah kerana kami tidak bersetuju dengan Rohingya yang terus datang ke sini,” Kholilullah, seorang pelajar universiti berusia 23 tahun yang menggunakan satu nama, memberitahu AFP. – AFP

    Wanita dan kanak-kanak etnik Rohingya membawa barang-barang mereka ketika mereka dipindahkan dari tempat perlindungan sementara mereka di tingkat bawah tanah balai raya berikutan protes menolak pelarian Rohingya di Banda Aceh, wilayah Aceh pada 27 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda