Monday, March 31, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar ISB catat prestasi cemerlang di Sukan FOBISIA B-13

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Atlet pelajar dari Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) mencatatkan pencapaian luar biasa di Kejohanan Persekutuan Sekolah Antarabangsa British di Asia (FOBISIA) B-13 2025 yang berlangsung baru-baru ini di Pattana Sports Resort, Thailand, dengan meraih 79 pingat, termasuk 17 emas, 37 perak dan 25 gangsa, dengan setiap ahli pasukan ISB memenangi sekurang-kurangnya satu pingat.

    Seramai 21 pelajar ISB – 16 dari ISB Brunei-Muara dan lima dari ISB Seria – telah bertanding di kejohanan yang berlangsung dari 17 hingga 21 Februari itu. Kontinjen ISB terdiri daripada atlet B-13 terbaik di sekolah ini, bersama tiga orang guru pengiring.

    Kejohanan itu melibatkan aktiviti individu dan sukan berpasukan, di mana peserta bertanding dalam acara olahraga, bola keranjang, bola sepak dan renang. Acara itu menyaksikan atlet pelajar ISB bersaing dengan sekolah-sekolah antarabangsa lain dari Asia.

    Guru Pendidikan Jasmani ISB, David Mark Evans berkata, “Dalam dua acara pertama, kami menunjukkan bahawa kami telah bersedia dengan baik dan berazam untuk mencapai potensi penuh kami. Menjelang awal hari kedua, semua telah meraih sekurang-kurangnya satu pingat. Ia adalah pencapaian yang sentiasa kami impikan serta mengeratkan dan memperkukuhkan semangat pasukan.

    “Melihat kepada keputusan akhir, pasukan dan jurulatih sangat berpuas hati dengan prestasi keseluruhan mereka, terutama sikap dan semangat yang ditunjukkan sepanjang kejohanan,” tambahnya.

    Kejohanan FOBISIA adalah pertandingan sukan tahunan yang berlangsung selama tiga hari melibatkan sekolah-sekolah antarabangsa di Asia.

    Ia memberi peluang kepada pelajar untuk bersaing di pentas antarabangsa menentang atlet dari sekolah-sekolah antarabangsa di rantau ini.

    Ahli Pasukan ISB B-13 FOBISIA dalam foto berkumpulan. – GAMBAR SERAHAN ISB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda