Friday, October 11, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar ISB raih keputusan cemerlang

    SEKOLAH Antarabangsa Brunei (ISB) telah mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Diploma Antarabangsa Baccalaureate (IB) pada tahun ini.

    Pencapaian yang cemerlang ini telah meningkat sebanyak dua peratus berbanding pada tahun lepas, sekali gus berjaya menewaskan kadar purata 29 mata di seluruh dunia.

    Ketua eksekutif yang baru sahaja dilantik, Laura Thomas berkata bahawa prestasi cemerlang ini memberikan rangsangan yang baik untuk warga sekolah dengan sistem pendidikan yang sedia ada, di mana sekolah ini telah berjaya melahirkan pelajar yang memperolehi peningkatan sebanyak enam peratus khususnya pada kadar gred purata di sekolah ini.

    Seramai 57 pelajar daripada 16 kumpulan telah berjaya menamatkan kursus program IB di ISB, di mana sekitar 98 peratus telah lulus program tersebut dan akan meneruskan pengajian mereka di beberapa buah universiti di seluruh dunia. Walaupun tidak ada pelajar yang mampu mencapai standard 45 mata di seluruh dunia, namun tujuh pelajar di sekolah ini telah berjaya meraih 40 mata atau lebih, manakala 13 pelajar mencapai 35 hingga 39 mata.

    Pencapaian itu sekali gus menempatkan mereka antara yang terbaik di seluruh dunia. Antara yang mencapai keputusan cemerlang itu ialah Zoe Chin, Dawn Chai, Clea Pariseau, Koh Buo Yu, Eloise Pozzi, Janine Ramchandani dan Tisha Wong.

    Antara pelajar ISB yang memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan IB tahun ini.

    “Keputusan ini diraih berikutan ketekunan pelajar dan dedikasi guru serta keseluruhan kakitangan ISB. Kita mungkin memerlukan sebuah perkampungan untuk membesarkan anak-anak kita, tetapi kita memerlukan keseluruhan masyarakat sekolah untuk memberikan kecemerlangan khususnya pelajar IB.

    Selepas dua tahun bekerja keras, saya sangat gembira mengetahui majoriti pelajar yang tamat pengajian telah menerima tawaran untuk meneruskan pengajian mereka di beberapa buah universiti terkemuka seperti di Australia, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat,” kata Laura Thomas.

    Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBDP) ini dikhususkan untuk pelajar yang berusia antara 16 hingga 19 tahun dan mengambil masa selama dua tahun untuk diselesaikan. Ia secara meluas dianggap sebagai kursus pra-universiti utama di seluruh dunia.

    Setelah mendapat reputasi daripada piawaian akademik yang tinggi, program ini terus terkenal di mana sekitar 1.4 juta pelajar telah mengikuti program ini di 4,656 buah sekolah di 152 buah negara seluruh dunia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda