Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar ISB tawan Gunung Kinabalu

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Sekumpulan pelajar Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) dari Tahun 12 dan Tahun 13 telah melakar pencapaian luar biasa apabila berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu berketinggian 4,095 meter atas paras laut semasa lawatan sekolah, baru-baru ini.

    Lawatan dari 18 hingga 21 Mei itu melibatkan 13 orang pelajar dari International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) ISB di mana mereka memulakan pendakian di bawah bimbingan kakitangan ISB dan pemandu gunung.

    Aktiviti itu diadakan selaras dengan elemen aktiviti dalam kreativiti, aktiviti, perkhidmatan (CAS) yang merupakan salah satu daripada tiga elemen mustahak yang harus disiapkan oleh setiap pelajar sebagai sebahagian daripada IBDP.

    Ketua Fakulti Seni ISB, Amy Gilroy serta Penyeleras Eko dan Guru Pendidikan Jasmani, David Mark Evan berkata mereka amat bangga dengan pencapaian kesemua pelajar yang berjaya sampai ke puncak gunung berkenaan.

    Ia merupakan satu detik yang mencabar bagi semua, tambah mereka, tetapi mereka mempunyai sebuah kumpulan yang hebat dalam pendakian yang mencabar dengan pemikiran positif, daya tahan yang tinggi serta sokongan daripada satu sama yang lain.

    Salah seorang pelajar yang menyertai pendakian berkenaan, Ketua Pelajar Lelaki ISB, Muhammad Bazil Alhaq bin Haji Mohd Abadil Shahnoel dari Tahun 12 menyatakan perjalanan menuju ke puncak Gunung Kinabalu merupakan satu pengalaman yang akan dihargai selamanya.

    Seorang peserta lagi iaitu pelajar Tahun 13, Tegwyn Reekie-Evan mengimbau kembali perjalanan yang tidak dapat dilupakan itu, mengatakan ia terasa seolah-olah mereka berada dalam dunia yang lain.

    Kejayaan ekspedisi itu mengetengahkan semangat dan dedikasi pelajar-pelajar ISB untuk terus menyahut cabaran-cabaran baharu selain menguji batas diri mereka.

    Pelajar dan kakitangan ISB bergambar ramai semasa berada di puncak Gunung Kinabalu, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN ISB
    Rombongan ISB semasa singgah di pondok perhentian. – GAMBAR SERAHAN ISB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda