Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Inisiatif Unit Pendidikan Khas, IKHLAS, merupakan usaha bersepadu yang dilaksanakan untuk memenuhi keperluan pelajar-pelajar yang memerlukan alat bantuan dan sumber-sumber belajar khas.
IKHLAS merangkumi beberapa jawatankuasa yang bermatlamat untuk mengenal pasti akses keperluan pelajar berkeperluan khas, mendapatkan sokongan daripada badan-badan korporat untuk menaja alat bantuan belajar dan sumber-sumber khusus serta menyediakan latihan untuk menggunakan sumber-sumber berkenaan.
Semua usaha itu, dihasratkan untuk mengatasi halangan kepada pembelajaran, meningkatkan lagi akses pelajar dan berdikari mereka di sekolah-sekolah dan rumah serta untuk merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035.
Perkara itu dikongsi oleh Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan dan Pengerusi IKHLAS Pendidikan Khas, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor ketika berucap di Majlis Penyampaian Alat Bantuan dan Sumber Belajar oleh Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas, hari ini.
Di majlis itu, seramai 13 orang pelajar berkeperluan khas menerima alat bantuan dan sumber belajar khusus termasuk komputer, komputer riba dan sumber-sumber belajar yang lain, jelasnya lagi dalam majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Jalan Utama Mentiri, Kampung Sungai Akar.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P8-1A_031117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P8-1C_031117.jpg)
Haji Ali Yusri dalam ucapannya menyatakan harapan supaya semua pelajar yang menerima alat bantuan dan sumber belajar khusus dapat memanfaatkan sepenuhnya alat bantuan serta sumber belajar berkenaan dan diharap akan membantu mereka untuk meningkatkan penyertaan dalam bilik darjah serta menjadikan pengalaman belajar mereka lebih bermakna.
Di samping itu, ibu bapa dan guru-guru diseru untuk memberikan sokongan penuh dalam memastikan bahawa alat bantuan dan sumber berkenaan digunakan oleh anak-anak serta pelajar-pelajar sepenuhnya.
Di majlis itu juga, Ketua Peringkat Rendah, JIS, Paul Bannister dalam ucapan ringkasnya menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk pelajar dan ibu bapa dalam menjayakan majlis berkenaan.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada ibu bapa dan pelajar JIS atas sokongan dan sumbangan yang diberikan untuk menjayakan kegiatan amal yang dijalankan pada awal 2017 di mana mereka berjaya untuk mengumpul lebih $6,000 yang digunakan untuk membeli alat bantuan dan sumber belajar khusus yang dihulurkan kepada para pelajar berkeperluan khas di majlis berkenaan.
Dalam memberikan pendidikan yang menyeluruh kepada pelajar-pelajar mereka, jelas Paul Bannister, pihaknya bukan sahaja menekankan pencapaian akademik tetapi memberikan penekanan kepada pelajar mereka untuk menggunakan ilmu pengetahuan yang diperoleh dalam membantu masyarakat atau memberikan sumbangan yang positif kepada komuniti mereka.
Dalam hubungan itu, ulasnya, menerusi kegiatan amal yang dilaksanakan dan penyerahan sumbangan alat bantuan dan sumber belajar khusus kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas, ia membantu pihaknya untuk mendidik pelajar-pelajarnya mengenai pentingnya untuk memberikan impak positif kepada komuniti mereka.
Majlis kemudian menyaksikan penyampaian sumbangan alat bantuan dan sumber belajar khusus kepada seramai 13 orang pelajar berkeperluan khas oleh murid-murid peringkat rendah JIS dengan disaksikan oleh Haji Ali Yusri, Paul Bannister, Timbalan Ketua Peringkat Rendah, JIS, Richard Hallam, Pengetua Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Hajah Nowen binti Haji Ibrahim, pengetua dan timbalan pengetua, guru besar, guru-guru, pegawai-pegawai dari Unit Pendidikan Khas serta ibu bapa dan pelajar-pelajar.
Para pelajar berkeperluan khas yang menerima sumbangan peralatan bantuan dan sumber belajar khusus di majlis berkenaan ialah Dayang Nur’Izzatul Husna binti Zainal, Awang Muhd Saiful Farihin bin Muhd Farihan, Awang Muhammad Zulkhair bin Haji Awang Hassan, Awang Muhammad Nur Al Hakim bin Azrin, Awang Muhammad Muiz bin Mokni, Awang Muhammad Waqiuddin Hidayatullah bin Iskandar, Awang Muhammad Akmal Aqil bin Radat, Awang Mohammad Adli Muizz bin Mohammad Asraya Fadhulullah, Awang Abdul Rahman bin Muhammad Khairul Azmi, Awang Muhammad Danish Aiman bin Mohammad, Awang Nazirul Zaqwan bin Abdullah, Awang Abdul Haris bin Abdul Latif dan Awang Mohd Izzan bin Mehalan.