Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar istimewa terima sumbangan

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Seramai 29 orang pelajar istimewa dan berkeperluan khas dari beberapa buah sekolah rendah dan menengah telah menerima sumbangan keperluan khusus dan bantuan pembelajaran pada majlis yang berlangsung di Dewan Utama, Jabatan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, pagi tadi.

    Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad.

    Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Dr. Haji Supry bin Haji Awang Ladi; Pemangku Pengarah Pendidikan Umum, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee dan jemputan khas.

    Pemangku Timbalan Ketua Unit Pendidikan Khas yang juga selaku Timbalan Pengerusi, Dr. Mona Aliana binti Dato Paduka Haji Alimin dalam ucapannya menyatakan, kesemua sumbangan keperluan khas berkenaan adalah daripada dana yang dikutip menerusi Larian Cuaca Amal yang diadakan pada Ogos tahun lepas.

    ATAS & BAWAH: Dr. Haji Azman semasa menyampaikan sumbangan kepada pelajar istimewa dan berkeperluan khas dari beberapa buah sekolah.

    Larian anjuran Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Perhubungan dengan kerjasama Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan itu adalah untuk mengumpul dana bagi membantu para pelajar berkeperluan khas dalam sumber pembelajaran dan peralatan khas yang mereka perlukan dan merupakan usaha tanggungjawab sosial korporat BDMD dan pihak kementerian untuk menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

    Melalui larian tersebut, hampir $15,300 telah berjaya dikumpulkan dan sumbangan berkenaan telah digunakan bagi inisiatif IKHLAS yang merupakan usaha kerjasama berterusan yang sedang dilaksanakan oleh Unit Pendidikan Khas dan badan-badan korporat berkenaan yang bertujuan bagi memenuhi keperluan pendidikan pelajar yang memerlukan sumber-sumber pendidikan khusus.

    Sumbangan-sumbangan yang diberikan kepada para pelajar-pelajar di majlis itu termasuk kerusi roda bermotor, ‘talking dictionary’, komputer riba, komputer, tablet interaktif dan banyak lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda