Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar istimewa terima sumbangan MKM

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Salah seorang pelajar istimewa Tahun 9 Maktab Anthony Abell, Seria menerima bantuan berupa bekalan lampin dewasa selama enam bulan, makanan dan juga wang tunai yang disampaikan Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM).

    Awang Muhammad Danial bin Nordin, 17, dilahirkan lumpuh dari pinggang ke bawah dan tidak mempunyai kawalan pada usus, dan pernah menjalani pembedahan sejak kecil sehingga kini.
    Antara pembedahan yang dijalankan termasuk membentuk semula perut dan tulangnya dari pinggang ke bawah.

    Pakar bedah yang melakukan pembedahan ke atasnya memanggilnya ‘Anak Ajaib’ kerana telah menjalani banyak pembedahan dan disebabkan ini juga, Awang Muhammad Danial tercicir daripada sesi persekolahan selama beberapa tahun.

    Awang Muhammad Danial yang menggunakan kerusi roda untuk bergerak terpaksa memakai lampin orang dewasa dan beg kolonoskopi.

    Dia tinggal bersama ibunya, dua abangnya dan enam ahli keluarga lain di sebuah flat kerajaan yang mempunyai dua bilik.

    Sejak awal 2020, MKM telah memberi bantuan kepada lebih 100 orang pelajar sekolah tersebut melalui program ‘Kembali ke Sekolah’ dengan membelikan buku dan peralatan sekolah yang diperlukan pelajar daripada golongan kurang berkemampuan termasuk memberi bantuan kepada Awang Muhammad Danial.

    Presiden MKM, Awang Mohd Yusof Halim berkata, pihaknya berbesar hati menerima sumbangan daripada orang awam untuk Awang Muhammad Danial dan turut melahirkan rasa syukur apabila salah seorang penderma tersebut akan secara berterusan membekalkan lampin buat beliau.

    MKM adalah badan amal berdaftar dan bergantung sepenuhnya daripada sumbangan awam untuk menjalankan kebanyakan projek amalnya.

    Awang Muhammad Danial ketika menerima sumbangan daripada MKM.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda