Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Bagi menggalakkan para pelajar untuk terus meraih kejayaan, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar-pelajar Cemerlang 2017/2018 ITQSHHB yang berlangsung di dewan kuliah institut tersebut hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengetua ITQSHHB, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dibacakan oleh pelajar ITQSHHB, Awang Ahmad Syarqawi bin Mardy.
Majlis kemudiannya diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat, disusuli dengan penyampaian hadiah-hadiah kepada pelajar-pelajar yang telah dianugerahkan sepanjang tahun 2017 dan 2018 serta penyampaian Anugerah Bahagian Hal Ehwal Pelajar.
Seramai 29 orang pelajar menerima Anugerah Al-Imam Asy-Syatibi bagi tahun 2017 dan 2018, 120 orang pelajar tahun 7 hingga tahun 10 pula menerima Anugerah Al-Imam Al-Jazari, 81 orang pelajar menerima Anugerah Cemerlang Akademik, 10 orang menerima Anugerah Cemerlang Peperiksaan Awam ‘O’ Level tahun 2017 dan 2018.
Manakala itu seramai 15 orang menerima Anugerah Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) bagi tahun 2017 dan 2018, empat orang menerima Anugerah Cemerlang Pengajian Awam Kategori ‘C’ bagi tahun 2017 dan 2018, dua orang menerima Anugerah Cemerlang Pengajian Braille Kategori ‘D’ bagi tahun 2017 dan 2018 dan 24 orang pelajar menerima anugerah khas.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Awang Ahmad Syarqawi.
Turut hadir di majlis tersebut ialah pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama, ibu-bapa, pegawai-pegawai, guru-guru dan kakitangan serta pelajar-pelajar ITSHHB.
Majlis tersebut antara lain bertujuan bagi meraikan pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan Al-Quran dan Akademik serta peperiksaan awam.
