BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Empat orang pelajar Tahun 12 Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) telah menyertai lawatan ke tempat kerja di Brunei LNG bersempena sambutan Ulang Tahun ke-50 Brunei LNG, baru-baru ini.
Dalam lawatan itu, para pelajar yang terdiri daripada Dayangku Nur Sulha Aisyah binti Pengiran Noor Azman, Natasha Sia Mei Li, Nathan Han Li Chour dan Daniel McKie berpeluang melawat loji untuk mengenali secara langsung proses pengeluaran cecair gas asli (LNG).
Mereka juga berpeluang untuk bertemu dan berinteraksi dengan kakitangan Brunei LNG yang mempunyai pelbagai latar belakang akademik dan kerjaya. Ini membantu memastikan para pelajar mempunyai pengalaman yang bermakna dan produktif semasa lawatan. Menurut kenyataan yang diberikan JIS, lawatan khas ke Brunei LNG itu bermatlamat untuk membangunkan kesedaran tempat kerja dalam kalangan pelajar dan untuk melihat bagaimana loji LNG beroperasi.
Dengan memberikan peluang berkenaan, Brunei LNG berharap untuk mempromosikan kesedaran pendidikan mengenai industri gas, peranannya di Brunei dan untuk memberikan pendedahan kepada pilihan kerjaya yang ditawarkannya.
Ketua Menengah Enam di JIS, Alex Cook dipetik menyatakan bahawa lawatan ke Brunei LNG, sebuah syarikat yang merupakan pemacu utama kepada ekonomi kebangsaan pembangunan mapan di Brunei, memberikan peluang luar biasa kepada pelajar-pelajar untuk mendapatkan gambaran berharga kepada industri gas.
“Saya ingin menyampaikan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Brunei LNG kerana memberi peluang kepada pelajar-pelajar kami untuk menjadi sebahagian daripada Sambutan Ulang Tahun ke-50 Brunei LNG,” ujar beliau.
