Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar JIS terokai keindahan sulaman Vietnam

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT- Seramai 24 pelajar Tahun 9, 10 dan 12 Jerudong International School (JIS), telah menyertai bengkel kebudayaan bertajuk ‘The Art of Vietnamese Embroidery’ anjuran Kedutaan Republik Sosialis Vietnam di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di sekolah berkenaan, hari ini.

    Hadir memeriahkan acara itu, Duta Besar Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu bersama isteri, Le Thi Hong Ngoan.

    Turut hadir, Pengarah Enrichment and Operations JIS, Justin Harris, Pengasas Yi’s Nation, Han Yei Siew, dan Pengasas Rattan House, Ms. Maisarah Nguyen.

    Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu dalam ucapannya antara lain menekankan kepentingan diplomasi budaya dalam memperkukuh hubungan antara masyarakat, khususnya dalam memberi inspirasi dan menghubungkan generasi muda.

    Duta Besar Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu hadir pada Bengkel Kebudayaan yang diadakan di JIS, hari ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Sebagai sebahagian daripada pertukaran budaya itu, Kedutaan Vietnam turut menyumbangkan koleksi karya sastera negara itu kepada JIS dan sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu kepada Justin Harris.

    Bengkel dikendalikan oleh Le Thi Hong Ngoan, Maisarah Nguyen dan Pham Thu Phuong yang juga membuat demonstrasi secara langsung serta latihan praktikal.

    Pelajar berpeluang merasai sendiri pengalaman menghasilkan seni sulaman tradisional yang memerlukan kesabaran, kreativiti dan kemahiran.

    Pada bengkel berkenaan, Le Thi Hong Ngoan turut menekankan penggunaan bahan-bahan lestari seperti kertas kitar semula, kotak kadbod, rumput kering serta pelbagai jenis benang.

    Pendekatan tersebut bukan sahaja menonjolkan keindahan seni halus masyarakat Vietnam, tetapi juga menggalakkan peserta menghayati nilai kelestarian dan berdaya usaha dalam kraf tangan.

    Selain pelajar, beberapa orang kakitangan JIS turut serta dalam aktiviti berkenaan yang memeriahkan lagi suasana kolaboratif serta interaktif.

    Penglibatan mereka telah mewujudkan pengalaman pembelajaran bersama yang memperkukuh penghargaan budaya dan semangat kerja berpasukan.

    Inisiatif Kedutaan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam mempromosikan pertukaran budaya dan persefahaman bersama, sekali gus mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat antara Vietnam dan Negara Brunei Darussalam.

    Antara brangan kebudayaan dan sulaman Republik Sosialis Vietnam di pamerkan di Bengkel Kebudayaan yang diadakan di JIS, hari ini. – GAMBAR YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda