Pelajar ke luar negara perlu isi dua borang

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Pelajar-pelajar yang berhasrat untuk mengikuti pengajian di luar negara iaitu bagi pelajar baharu atau yang kembali ke negara pengajian iaitu pelajar yang telah berada di Brunei, mereka dikehendaki untuk mengikuti garis panduan yang telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan.

Di samping itu, mereka juga perlu mengisikan dua borang yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan, jelas Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Para pelajar perlu untuk mengisi Borang A (COVID-19) iaitu borang memohon kebenaran kembali ke negara pengajian dan Borang B (COVID-19) iaitu borang deklarasi kembali ke negara pengajian.

Yang Berhormat Dato berkata bahawa mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan terperinci boleh menghubungi Bahagian Biasiswa, Tingkat 5, Blok C, Bangunan Kementerian Pendidikan, Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas di talian 2380019.

Pelajar-pelajar Brunei yang hendak kembali ke negara pengajian perlu mengisikan dua borang yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan. – Gambar fail