Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar khas hayati keindahan sejarah Islam

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Seramai 11 orang guru dan 15 pelajar berkeperluan khas dari Sekolah Menengah Masin, kelmarin, mengadakan lawatan sambil belajar ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).

    Lawatan anjuran ENVYSION EVENT dan disokong oleh Dapur Tengku, Mohammad Faisal Trading Company, Nadi Utama Restaurant & Catering, Sherlicious Delicious Ice Cream, Ampa 6 Crew A, dan beberapa individu.

    Antara lain objektif lawatan adalah untuk memberi pengalaman pembelajaran luar bilik darjah kepada pelajar keperluan khas, meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai sejarah dan warisan Islam di Brunei Darussalam.

    Rombongan pelajar berkeperluan khas SM Masin mendekati warisan Islam di BKISHHB. – GAMBAR SERAHAN ENVYSION

    Selain memupuk rasa bangga dan cinta terhadap agama, raja, dan Negara, dan menggalakkan interaksi sosial dan kemahiran komunikasi dalam suasana pembelajaran sebenar, seterusnya membina keyakinan diri pelajar melalui penyertaan dalam aktiviti luar sekolah.

    Rombongan pelajar dan guru dari sekolah tersebut disambut mesra oleh pegawai bertugas yang memberikan penerangan ringkas mengenai sejarah penubuhan balai tersebut.

    Para pelajar berpeluang melihat pelbagai koleksi manuskrip Islam, artifak bersejarah, serta bahan pameran yang menggambarkan keagungan tamadun Islam.

    Rombongan pelajar berkeperluan khas SM Masin mendekati warisan Islam di BKISHHB.

    Antara tarikan utama semasa lawatan ini ialah pameran “Heart of Madinah” yang menampilkan replika Ar-Rawdah As-Sharifah dan rumah Nabi Muhammad SAW bersama Sayyidatina Aisyah RA. Melalui pameran ini, pelajar dapat merasai suasana dan memahami dengan lebih mendalam tentang kehidupan Rasulullah SAW serta keindahan kota Madinah Al-Munawwarah.

    Guru-guru turut membantu menerangkan maksud dan kepentingan tempat-tempat bersejarah ini dengan bahasa yang mudah difahami oleh pelajar.

    GAMBAR SERAHAN ENVYSION
    GAMBAR SERAHAN ENVYSION

    Pelajar-pelajar menunjukkan minat dan kekaguman terhadap keindahan seni bina serta keunikan pameran tersebut selain berpeluang mengambil gambar sebagai kenangan.

    Lawatan ini telah mencapai objektif yang ditetapkan yang mana ia bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada pelajar keperluan khas, tetapi juga membantu mereka memahami dan menghargai warisan Islam serta memperkukuhkan kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW. Lawatan ini turut memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus menuntut ilmu dan berakhlak mulia seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda