Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Sebagai usaha untuk memberikan pelajar-pelajar Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) pengalaman praktikal menguruskan acara sebenar, pelajar-pelajar Diploma dalam Perniagaan di bawah modul Managing an Event, menganjurkan acara GOODVIBES yang berlangsung di Kampus LCB pada 23 dan 24 November lalu.
Acara selama dua hari berkenaan menyaksikan lebih 54 vendor tempatan yang mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk makanan dan minuman, kraf dan barangan gaya hidup.
Acara itu juga menyediakan platform bagi perniagaan tempatan untuk memperoleh pendedahan, membina asas pelanggan serta mengembangkan jenama mereka.
Inisiatif itu menyediakan peluang yang berharga bagi para pelajar untuk memperoleh pengalaman amali dalam pengurusan acara serta mengasah kemahiran kepimpinan dan perancangan mereka.
Di bawah bimbingan pensyarah Jabatan Hospitaliti, LCB, Pengiran Mohd Aiman Safwan bin Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri, pelajar-pelajar berkenaan merancang acara GOODVIBES secara terperinci untuk menyatupadukan komuniti serta meraikan syarikat-syarikat tempatan.
Mengulas mengenai acara berkenaan, Pengiran Mohd Aiman Safwan menyatakan GOODVIBES adalah lebih daripada sebuah acara di mana ia merupakan bukti komitmen dan kreativiti para pelajar kepada pembelajaran berasaskan pengalaman.
Acara itu, tambahnya, bukan sahaja mengukuhkan pemahaman mereka mengenai pengurusan acara tetapi juga menyumbang kepada misi mereka untuk memupuk hubungan dalam komuniti setempat.
Acara itu bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran dan kesiapsiagaan mereka untuk memasuki alam pekerjaan, memupuk persekitaran kolaboratif bagi perniagaan tempatan dan komuniti untuk berinteraksi dan menyokong satu sama lain serta meningkatkan visibiliti dan impak perusahaan kecil dan sederhana di Brunei.