Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar luah rasa ‘siuk’ berpuasa bersama rakan sekolah

    Oleh Nurdiyanah R.

    Awal Ramadan lalu, para pelajar di negara ini masih menjalani waktu persekolahan seperti biasa namun lebih pendek waktu pembelajarannya.

    Sehubungan itu, penulis meninjau dan menemubual beberapa orang pelajar seminggu sebelum cuti persekolahan mengenai ibadah puasa mereka.

    Ini kerana sesetengah anak-anak atau golongan murid, yang masih kecil belum terbiasa menahan lapar dan dahaga untuk berpuasa di sepanjang waktu persekolahan ketika seluruh umat Islam menyambut bulan suci Ramadan.

    Namun tidak dinafikan juga, sesetengah murid-murid merasa begitu teruja mengikuti alam pembelajaran di sekolah-sekolah sambil berpuasa bersama kawan-kawan.

    Indahnya lantunan Kalam Allah

    Mendengar lantunan kalam Allah yang dibaca secara murattal begitu menenangkan jiwa serta minda, lebih-lebih lagi di saat meniti bulan suci yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

    Suasana berlangsungnya Majlis Membaca Surah-surah Lazim yang diungkayahkan oleh warga Sekolah Rendah Binturan, Daerah Tutong, di dewan sekolah berkenaan, baru-baru ini.
    Awang Mohd Azfar meluahkan kegembiraan dapat menahan lapar dan dahaga sehingga tibanya waktu sungkai.
    Dayang Nur Hadirah berkata semasa bersahur, ibunya sering menasihatinya untuk memperbanyakkan minum air putih untuk mengelakkan dehidrasi dan tidak ketinggalan mengamalkan makan tiga biji buah kurma.
    Dayang Marsya selaku salah seorang murid Tahun 6 menyatakan berpuasa sewaktu musim persekolahan ini sememangnya telah mengajar mereka untuk berjimat cermat.
    Dayang Dhia Damia yang menuntut di Tahun 5 berazam untuk berpuasa sebulan penuh bagi mengulangi kejayaannya tahun lalu.

    Begitulah indahnya Majlis Membaca Surah-surah Lazim yang diungkayahkan oleh warga Sekolah Rendah Binturan, Daerah Tutong, baru-baru ini.

    Sebagai salah satu pengisian yang dilaksanakan sebelum berakhirnya musim penggal persekolahan pertama di mana murid-murid bersama para guru serta kakitangan sekolah berkenaan telah berkumpul bagi menjayakan majlis yang berlangsung di dewan sekolah tersebut.

    Bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan diteruskan dengan surah-surah lazim daripada Surah Ad-Dhuha sehingga Surah An-Nas, yang dipimpin oleh Awang Ermadini bin Jailani selaku salah seorang guru agama sekolah tersebut.

    Laungan Dikir Asyrakal turut menghidupkan lagi suasana dewan bagi sama-sama menyemai rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW selain mendekatkan diri kepada Allah SWT.

    Majlis turut diselajurkan dengan sesi penyampaian sumbangan ‘Kasih Ramadan’ berupa kewangan dan pelbagai barangan makanan asasi yang telah dikumpulkan sebelumnya daripada sumbangan seikhlas hati para guru dan kakitangan sekolah khususnya bagi golongan murid daripada keluarga yang kurang berkemampuan bersempena bulan yang mulia ini. Sumbangan telah disampaikan oleh Guru Besar, Sekolah Rendah Binturan, Dayang Nurul Khairunnisa binti Awang Morni.

    Seronok berpuasa bersama

    Sejurus berakhirnya majlis, suasana riuh rendah penuh keceriaan memecah keheningan pagi dalam kalangan murid-murid sambil menanti waktu pulang sekolah.

    Penulis cuba mendekati mereka dan bertanyakan “semua puasa hari ani?” dan dengan nada penuh bersemangat majoriti mereka mengangkat tangan sambil menyahut “aku puasa.”

    Melihat ketulusan pada wajah-wajah comel itu yang begitu teruja seakan-akan ingin berkongsi cerita mengenai pengalaman berpuasa mereka jelas terpancar.

    Berkesempatan ditemui penulis ialah dua orang murid Tahun 3, Awang Mohammad Azfar Shukri bin Mohammad Azamri dan Dayang Nur Hadirah Dania Alisha binti Mohammad Yasreen mengongsikan, bulan Ramadan tahun ini merupakan tahun pertama mereka berpuasa.

    Berkongsi lanjut, Awang Mohd Azfar meluahkan kegembiraan dapat menahan lapar dan dahaga sehingga tibanya waktu sungkai.

    “Bapa sama mama selalu mengingati aku untuk bersahur sebelum berpuasa pada waktu pagi. Biasanya aku tidur awal pada malam hari supaya sanang bangun sahur,” ujarnya dengan nada keceriaan.

    Sementara itu, Dayang Nur Hadirah menambah semasa bersahur, ibunya sering menasihatinya untuk memperbanyakkan minum air putih untuk mengelakkan dehidrasi dan tidak ketinggalan juga mengamalkan makan tiga biji buah kurma.

    “Awal-awal hari pertama puasa atu terasa ngalih tapi masa ani sudah biasa. Siuk puasa sama kawan-kawan di sekolah,” ucapnya tulus.

    Berazam puasa penuh

    Dengan berazam untuk berpuasa sebulan penuh untuk mengulangi kejayaannya tahun lalu, begitulah harapan yang diungkapkan oleh salah seorang murid Tahun 5, Dayang Dhia Damia Qaisara binti Mohammad Zul Raimi semasa ditemui penulis.

    “Kitani orang-orang Islam wajib berpuasa di bulan Ramadan dan ia juga termasuk dalam Rukun Islam,” ujarnya ketika mengenang kata-kata yang disampaikan oleh salah seorang guru di sekolah agamanya suatu ketika dahulu.

    Oleh itu, berpuasa tidak melemahkan semangat diri Dayang Dhia Damia untuk belajar bersama kawan-kawan lebih-lebih lagi waktu tempoh persekolahan dipendekkan sepanjang bulan Ramadan di mana mereka turut diketengahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan sebagai penggantian aktiviti luar darjah seperti bersukan.

    Di samping itu, Dayang Marsya Hana Zahra binti Awang Wisly selaku salah seorang murid Tahun 6 turut menambah bahawa berpuasa sewaktu musim persekolahan ini sememangnya telah mengajar mereka untuk berjimat cermat, selain mendidik diri untuk terus menjaga tingkah laku dalam bulan yang penuh berkat tersebut.

    Dengan perlaksanaan majlis berkenaan, pihak sekolah setentunya menaruh harapan tulus untuk meningkatkan lagi nilai-nilai kerohanian dalam jati diri bukan hanya dalam kalangan murid-murid bahkan seluruh warga sekolah antaranya menjadikan amalan membaca Al-Quran sebagai landasan hidup dan amalan harian selagi masih dikurniakan nikmat rezeki bernafas di dunia yang sementara ini, bukannya amalan bermusim sekali setahun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda