KOTA KINABALU, 13 JULAI – Arnie Jaliusih, 20, salah seorang pelajar cemerlang STPM yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, memanfaatkan waktu subuh untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih berkesan.
Pelajar tunggal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens, Kiulu yang memperoleh PNGK 4.0 itu berkata mengulang kaji pelajaran pada waktu subuh, memudahkannya untuk memberi fokus kepada nota-nota bagi mengingat fakta, semasa menjawab soalan peperiksaan.
“Saya hanya tidur lima jam sahaja ketika menghadapi waktu peperiksaan, kalau saya penat, saya akan rehat sejam. Waktu malam pun begitu juga. Saya tidak akan paksa diri saya kalau tidak dapat (mengulang kaji) sebab nanti tidak masuk (ingat) juga.
“Saya akan tidur dulu, subuh baru saya bangun, saya ikut kesesuaian belajar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu di sini hari ini.
Mahu menjadi seorang guru, anak kepada pasangan petani Malian Bangkulat, 53, dan Jaliusih Madakol, 63, juga berkata beliau terpaksa tinggal di asrama sekolah, kerana keadaan laluan berbukit selain jalan raya yang tidak rata menyukarkannya berulang alik ke sekolah dari rumahnya.
Bagi Noraliah Syairah Sailieh, 20, dari SMK Sook, Keningau juga pelajar tunggal dari sekolahnya, yang berjaya menempatkan diri antara 75 pelajar terbaik seluruh Sabah dengan memperoleh PNGK 4.00.
Anak bongsu daripada lima beradik itu, tidak menyangka akan mendapat keputusan STPM sebaik itu kerana tidak pernah mencapai PNGK seperti itu, sepanjang tempoh berada dalam tingakatan enam. – Bernama


