Tuesday, January 21, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar maut dipercayai akibat merempit

    GEORGE TOWN, 21 JAN – Seorang pelajar lelaki tingkatan lima sebuah sekolah menengah maut akibat kemalangan selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti merempit di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, ACP Sazalee Adam berkata mangsa berusia 17 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

    Beliau berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 4.30 pagi memaklumkan telah berlaku kemalangan maut melibatkan motosikal yang ditunggang seorang lelaki.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa menunggang motosikal dari arah Georgetown menghala ke Batu Maung. Apabila sampai di hadapan kilang Keysight, mangsa telah terlibat dalam satu kemalangan dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sazalee berkata bagaimanapun, bilangan kenderaan yang terlibat dan punca sebenar kemalangan belum dapat dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan, sementara mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Balik Pulau untuk tujuan bedah siasat. – Bernama

    Pelajar maut dipercayai merempit. – Gambar Pexels.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda