Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Pelajar Mesir pelajari budaya Cina

    KAHERAH – Beberapa pelajar Mesir dari universiti berbeza mencipta cenderahati mereka sendiri dengan merasai kraf tangan tradisional Cina seperti pencetakan blok kayu, membuat buku nota berikat benang dan mencetak blok dan mewarna fabrik, dalam aktiviti pertukaran budaya baru-baru ini.

    China in Classic Books, aktiviti yang diadakan antara golongan muda Mesir dan wilayah Shandong China melalui pautan video, dianjurkan oleh Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Kerajaan Rakyat Wilayah Shandong dengan kerjasama Chinese Bridge Club di Kaherah dan Universiti Cina Mesir (ECU).

    Adham Ehab, seorang pelajar di jabatan Cina di Universiti Kaherah, membuat buku nota berikat benang dengan cara yang sama dibuatnya secara tradisional di Shandong.

    “Aktiviti sebegini membuatkan kami lebih mengenali budaya Cina dan lebih mencintai bahasa Cina,” kata pelajar Mesir itu kepada Xinhua semasa acara berkenaan.

    Pelajar dan graduan Mesir yang mengambil bahagian datang dari universiti berbeza termasuk Universiti Kaherah, Universiti Ain Shams, Universiti Al-Azhar dan ECU.

    Antara pelajar yang mengambil bahagian dalam aktiviti pertukaran budaya yang diadakan. – Xinhua
    Pelajar bergambar ramai semasa aktiviti pertukaran budaya berkenaan. – Xinhua
    Seorang guru menunjukkan blok percetakan semasa acara tersebut. – Xinhua

    Jiao Xinyue, seorang guru Cina di Universiti Kaherah yang juga mengajar di Institut Confucius Universiti Kaherah, berkata kuasa ekonomi China dan kerjasama yang semakin meningkat antara China dan Mesir memberikan lebih banyak peluang kepada pelajar mempelajari bahasa Cina.

    Bilangan pelajar dalam bahasa Cina di Universiti Kaherah semakin meningkat setiap tahun, tambahnya.

    “Acara itu bertujuan untuk menghubungkan antara budaya Mesir dan Cina melalui pembelajaran tentang beberapa cara percetakan dan kraf tangan tradisional Cina, yang menyerupai beberapa rakan mereka di Mesir purba,” jelas Naib Presiden ECU, Rasha El-Kholy.

    “Menghubungkan tamadun purba boleh mendorong kita ke hadapan ke arah masa depan inovasi, penyelidikan dan pembangunan,” tambahnya.

    “Pertukaran budaya antara belia kedua-dua negara akan mengeratkan persahabatan di kalangan generasi akan datang, dengan harapan aktiviti kebudayaan seperti itu akan meningkatkan persahabatan dan kerjasama antara China dan Mesir,” kata ketua Chinese Bridge Club di Kaherah, Gianna Xu. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...