BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Rombongan seramai 24 orang pelajar Kolej Antarabangsa Micronet (MIC) yang mengambil Kursus Diploma Tertinggi Kebangsaan SQA dalam Sains Komputer telah membuat lawatan sambil belajar ke Telephone House, Telekom Brunei (TelBru) di Sumbiling.
Menurut kenyataan MIC, semasa lawatan itu, para pelajar mendengarkan penjelasan daripada kakitangan TelBru, terutamanya mengenai teknologi yang menyokong perkhidmatan TelBru.
Selain itu, para pelajar juga berpeluang untuk menyaksikan kemudahan-kemudahan TelBru berkaitan dengan rangkaian IT yang sangat berkaitan dengan kursus yang sedang diambil oleh pelajar di MIC.
Dalam lawatan berkenaan, rombo-ngan pelajar diiringi oleh Pengetua MIC, Sharon Chin yang mengambil kesempatan menyatakan penghargaan kepada TelBru terutamanya Dayang Siti Hajar dari Perhubungan Korporat dan pasukan, kerana memberi peluang kepada pelajar-pelajar Sains Komputer berkenaan untuk mendapatkan pengalaman di luar kelas dan mendedahkan mereka kepada suasana pekerjaan di syarikat pembekal telekomunikasi utama berkenaan.
MIC dalam kenyataannya menyatakan, sebagai sebahagian daripada kurikulum dan objektif kolej, mereka terus memastikan bahawa pelajar-pelajar akan memahami lagi persekitaran pekerjaan industri sebenar dengan berinteraksi dengan profesional dalam aspek-aspek berkaitan dengan metode bekerja dan amalan pekerjaan.
