Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Rombongan tiga orang pelajar dan seorang guru dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan telah mewakili Negara Brunei Darussalam bagi menyertai China-ASEAN Innovation Camp di Sunway University, Kuala Lumpur, Malaysia pada 24 hingga 27 Oktober.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, menyatakan Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam melalui Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP) dan Jabatan Sekolah-Sekolah menyelaraskan penyertaan rombongan itu dalam program berkenaan.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada para peserta ialah Pemangku Pegawai Tugas Tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Md Danny bin Aimi.
Turut hadir, pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan dari Jabatan Sekolah-Sekolah, Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP) serta ibu bapa dan ahli keluarga pelajar.

Pelajar-pelajar yang mewakili Negara Brunei Darussalam, Lee Jing Jing, Fong Chee Shane dan Lim Mei Ling dengan diiringi oleh guru mereka, Marlina Binti Haji Mohammad Said selaku ketua delegasi.
Pelajar-pelajar berkenaan akan mengambil bahagian dalam kategori Teknologi Hijau dengan projek mereka yang bertajuk, Earth Battery: Sustainable Harvest.
Projek itu telah di senarai pendek oleh penganjur pertandingan, sekali gus melayakkan mereka ke Fasa 4: Kem Inovasi.
Program China-ASEAN Innovation Camp itu merangkumi beberapa buah bengkel dalam talian dan sesi bimbingan yang diadakan dari September hingga Oktober, bertujuan untuk mempersiapkan peserta menghadapi Kem Inovasi dan Peringkat Akhir ASEAN yang akan datang.

Sesi-sesi berkenaan direka untuk memupuk daya kreatif, memperkukuh kemahiran penyelesaian masalah serta menggalakkan inovasi lestari dalam kalangan peserta.
Para pelajar telah menunjukkan komitmen dan semangat yang tinggi sepanjang persiapan mereka untuk menyertai program berkenaan.
Penyertaan dalam program antarabangsa itu turut memberikan pendedahan berharga terutama dalam amalan inovasi global serta memupuk pemikiran berwawasan jauh dalam kalangan belia.
Pengalaman itu juga sejajar dengan wawasan negara untuk memupuk inovasi dan penyelesaian lestari dalam kalangan pelajar, sekali gus membekalkan mereka dengan kemahiran abad ke-21 yang penting bagi menyokong kemajuan Negara Brunei Darussalam dalam bidang sains, teknologi, dan pemeliharaan alam sekitar.

