Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Pelajar-pelajar muda yang sedang belajar Bahasa Inggeris dalam Program Pelajar Muda Cambridge di Pusat Pembelajaran dan Latihan CfBT mengambil bahagian dalam perayaan sekolah yang mengetengahkan keyakinan mereka dalam keupayaan, kefasihan serta penyampaian Bahasa Inggeris, yang diadakan di Pusat Pembelajaran dan Latihan CfBT, Kiarong, hari ini.
Program Pelajar Muda Cambridge yang dilancarkan pada awal 2020 terpaksa melalui masa yang mencabar dan ditunda disebabkan penularan pandemik COVID-19.
Namun dengan keadaan negara yang berjaya untuk mengawal penularan pandemik COVID-19, program itu dapat dilaksanakan kembali dengan pelajar-pelajar berjaya untuk mengikuti pengajian serta mencapai beberapa matlamat program berkenaan.
Pengarah Pengajian CfBT, Jessica Tieng dalam kata alu-aluannya berkata bahawa menerusi program berkenaan, pihaknya mengumpulkan para pelajar berdasarkan kepada keupayaan
Bahasa Inggeris mereka dan bukannya usia mereka dan beliau yakin bahawa kelas-kelas yang dikendalikan mengikuti keupayaan Bahasa Inggeris akan membolehkan lebih ramai pelajar untuk berjaya serta mencapai tahap pembelajaran yang lebih tinggi.
Di samping itu, ia juga memberikan peluang kepada para guru untuk memberikan tumpuan kepada para pelajar dalam pengajian mereka.
Beliau menambah bahawa pelajar-pelajar yang berjaya untuk menamatkan tiga atau empat penggal akan berpeluang untuk menduduki ujian di mana jika berjaya, mereka akan mendapat akses ke peringkat pengajian seterusnya.
Sementara itu, Ketua Latihan dan Pembelajaran, Rob Tunnell menambah bahawa 2020 merupakan tahun yang amat mencabar bagi mereka dan secara perlahan, mereka telah membina kembali sekolah dalam tempoh enam bulan kebelakangan.
Dalam hubungan itu, beliau amat bangga kerana dapat meraikan para pelajar dalam acara persembahan di hadapan ibu bapa mereka.
Dalam acara sambutan itu, para pelajar daripada Foundation, Cambridge Starters, Movers dan Flyers mempamerkan keupayaan dan keyakinan mereka dalam Bahasa Inggeris.
Para pelajar yang menyertai acara sambutan berkenaan turut diberikan sijil penyertaan sementara sijil penghargaan diberikan kepada pelajar-pelajar cemerlang dalam pelbagai kategori yang di-sampaikan oleh Jessica Tieng.