Pelajar PB sertai Techstar Startup Weekend Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Pelajar-pelajar Diploma (Tahap 5) dalam Teknologi Sains, pengambilan 7 dan 8 Politeknik Brunei (PB), telah menyertai Techstar Startup Weekend Brunei: Food Tech Edition yang berlangsung di Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), baru-baru ini.

Dalam acara yang berlangsung pada 6 hingga 8 Disember lalu itu, para peserta secara berkumpulan mesti merevolusikan industri makanan dalam masa 54 jam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, dalam acara itu, pasukan-pasukan perlu menghasilkan inovasi dan menggunakan teknologi untuk mengubah sistem dalam industri makanan bagi mengatasi isu-isu dalam pertanian atau pertanian bandar, pembungkusan pintar, perkhidmatan makanan dan penghasilan serta pemprosesan makanan.

Awang Abdul Qawi Rabbani bin Haji Abdul Rajak dari PB, Dayangku Erni Nazirah binti Pengiran Harbi juga dari PB dan Awang Mohammad Faiz bin Haji Sufrikhan dari LCB muncul juara dengan projek mereka dinamakan Roboponics yang diinspirasikan daripada projek tahun akhir di PB.

Kenyataan menjelaskan, projek berkenaan melibatkan para pelajar membangunkan sistem hidroponik menggunakan sistem Nutrient Film Technique (NFT) yang boleh menyingkirkan isu-isu dengan menggunakan sistem pengumpulan data automatik.

Pasukan di tempat ketiga menerima hadiah mereka. – Gambar daripada PB

Data yang dikumpulkan boleh dari segi kandungan nutrien, kandungan lembapan dan kawalan cahaya. Inovasi ini dikatakan boleh mengurangkan perbelanjaan dan penyelenggaraan hidroponik dengan menggunakan sensor-sensor buatan sendiri.

Pemenang pertama membawa pulang pakej pelancongan empat hari ke Sandakan, Sabah. Pasukan berkenaan juga telah memenangi tempat pertama dalam pertandingan Cook-off yang dianjurkan dan dihoskan oleh Sekolah Kulinari LCB.

Sementara itu, Jesslyn Mary Lua Wong (PB), Awang Muhammad Wa’ie bin Mohd Shahran (PB), Alvin Wong (usahawan) dan Awang Mohammad Muazzam bin Haji Abdul Rahim (LCB) menduduki tempat kedua dengan projek bertajuk Methanate yang bermatlamat untuk mengatasi isu lebihan makanan dengan menukarnya menjadi gas metana.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan Dayang Siti Nuratika Sri Mu’multazimah binti Mohammad Hadi Muslim @ Cicy (PB), Awang Mohamad Azizul Rahman bin Abidin (PB), Min Fudzail (Curtin University, Miri) dan Ventakeshrwaran Aravind Perumal dari Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) dengan projek ‘Taman Terapung Brunei’.

Kenyataan menyatakan, pertandingan menjadi platform yang baik bagi para pelajar PB untuk berkongsi inovasi dan idea kreatif serta untuk memulakan idea-idea berpotensi mereka selain mempromosikan idea berkenaan sebagai pelan perniagaan kepada pihak berkepentingan yang berpotensi.