Oleh Siti Nur Wasimah S. & Hajah Saemah Kepli
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Setiap rakyat dan penduduk mempunyai peranan dalam memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai dan berjaya.
Peranan pelajar dalam menjayakan wawasan negara adalah perlu belajar bersungguh-sungguh; tidak melibatkan diri dengan gejala sosial; mematuhi peraturan dan undang-undang negara; menjadi teladan yang baik kepada adik-beradik dan rakan; dan memberi sumbangan tenaga dan fikiran.
Ini adalah antara inti pati tazkirah bertajuk ‘Peranan Pelajar Dalam Menjayakan Wawasan Negara’ bagi Program Keagamaan Senegara untuk bulan Februari yang bermula pagi tadi di Surau Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Anak Saleha, Katok.
Tazkirah yang disampaikan oleh penceramah undangan, Pengiran Mohd Norhadi bin Pengiran Haji Bongsu itu antara lain menyentuh mengenai beberapa langkah yang perlu diambil oleh para pelajar dalam sama-sama menjayakan wawasan negara dan mengapa para belia dan pelajar menjadi tumpuan negara untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.
Wawasan Brunei 2035 merupakan gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang jauh ke hadapan memastikan Negara Brunei Darussalam dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah negara yang memiliki rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.


‘Pelajar Harapan Negara, Pelajar Bersatu Negara Maju’ adalah slogan-slogan yang memberikan semangat atau dorongan untuk para pelajar meningkatkan mutu pembelajaran mereka bagi sama-sama menjayakan wawasan negara.
Lebih 1,000 orang pelajar terdiri daripada pelajar Tahun 8 hingga 11 telah menghadiri program di sekolah tersebut.
Selepas mendengarkan tazkirah, majlis diteruskan lagi dengan membaca Surah Yasin bersempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di samping membaca Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Program diteruskan lagi pada sesi petang di seluruh negara yang mana bagi Daerah Brunei II A ia diadakan di Sekolah Ugama Perpindahan Lambak Kanan Jalan 77, Daerah Tutong di Sekolah Ugama Keriam, Daerah Belait di Sekolah Ugama Sungai Liang dan bagi Daerah Temburong pula ia diadakan di Sekolah Ugama Bokok.
Di Sekolah Ugama Sungai Liang, program melibatkan seramai 167 orang murid Darjah Pra hingga 6 sesi petang dan tazkirah telah disampaikan oleh Awang Mohd Rezal bin Yunos.