KUALA TERENGGANU, 8 OGOS – Tiada kesan dadah ditemui dalam sampel darah diambil daripada pelajar tingkatan empat yang pengsan setelah diserang sawan dipercayai akibat menghisap rokok elektronik pada 22 Julai.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata pihaknya telah menerima keputusan analisis daripada Jabatan Kimia, Selasa lepas.
Beliau berkata, ketika ini pelajar berasal dari Kemaman itu masih dirawat di Hospital Kemaman dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Saya dah terima laporan daripada Jabatan Kimia dan keputusannya negatif. Mak-nanya tidak ada kesan dadah dalam tubuh pelajar itu dan tidak ada kes yang kita boleh sabitkan kesalahan.
“Pelajar itu masih terima rawatan di hospital dan keadaannya stabil, tetapi ada kalanya dia diserang sawan dan itu tugas doktor untuk kenal pasti punca penyakit,” katanya selepas menyempurnakan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024
Peringkat Negeri Terengganu di perkarangan Wisma Persekutuan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata pihak polis akan memperketat pemantauan di kedai rokok elektronik bagi membanteras penjualan jenis magic mushroom. – Bernama
