Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Budaya tradisi Brunei khususnya tarian asli Brunei akan diketengahkan oleh pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam semasa Festival Belia Singapura (SYF) 2025 yang berlangsung di Republik Singapura pada 5 Julai nanti.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum telah menyelaras penyertaan seramai lapan pelajar bersama seorang pegawai fokal dan seorang pembimbing dalam festival yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, Singapura.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), hari ini, untuk mengucapkan selamat berlepas dan memberikan kata-kata nasihat kepada rombongan pelajar dan guru berkenaan ialah Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamad @ Mohamat.
Para pelajar yang terlibat merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong yang mendapat tempat naib johan dalam Pertandingan Tarian Brunei Asli Antara Sekolah-sekolah Menengah Tahun 2024.
SYF 2025 merupakan sebuah pesta seni tahunan yang diraikan bagi mengetengahkan pelbagai bakat seni dalam kalangan belia serantau di mana acara akan berlangsung di SCAPE Ground Theatre, Singapura.
Festival berkenaan menampilkan penyertaan Negara Brunei Darussalam melalui persembahan Medley Tarian Brunei Asli iaitu Jipin Laila Sembah dan Joget Baju Putih.



