Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Meskipun kemajuan dunia pada abad ke-21 telah menjadikan taraf kehidupan manusia bertambah baik terutama dalam bidang pendidikan, namun kecemerlangan akademik hendaklah diimbangi dengan pembentukan sahsiah yang mantap.
Ia adalah penting kerana bangsa yang maju dan sejahtera bukan sahaja terletak kepada ahli-ahli yang berilmu pengetahuan tetapi juga yang bersahsiah mulia.
“Gabungan kesedaran tentang kepentingan ilmu dan kemantapan sahsiah inilah yang akan dapat dijadikan mekanisme utama dalam usaha kita merealisasikan Wawasan Negara 2035.”
Seruan itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim dalam ucapannya di Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Pencapaian Akademik Dalam Peperiksaan BC-GCE A Level dan BC-GCE O Level 2024, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) yang berlangsung di Setia Point, hari ini.
Terdahulu Pengetua Maktab Sains, Pengiran Hajah Norhasima binti Pengiran Haji Hassan dalam kata alu-aluannya berpesan kepada para pelajar yang diraikan bahawa mereka berpotensi besar sebagai pelapis kepimpinan negara dan pendukung utama Wawasan Negara 2035.
“Oleh itu, berusahalah dengan gigih untuk melengkapkan diri bukan sahaja dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran berkualiti tetapi juga dengan nilai-nilai murni selaras dengan falsafah Melayu Islam Beraja sebagai ketahanan jati diri,” tambahnya lagi.
Pada majlis berkenaan, seramai 142 pelajar yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 3 A Level telah menerima hadiah dan sijil.
Ia termasuk 12 penerima Anugerah Pencapaian Tinggi iaitu mendapat sekurang-kurangnya 3 gred A dan seorang penerima Anugerah Kecemerlangan yang mendapat keputusan tertinggi, 2A*1A iaitu Dayang Yasmein Ameina binti Haji Mohammad Affno.
Manakala itu, seramai 282 pelajar telah mendapat keputusan sekurang-kurangnya 5 O level dalam Peperiksaan BC-GCE O Level 2024 menerima hadiah dan sijil termasuk seramai 15 penerima Anugerah Pencapaian Tinggi yang mendapat sekurang-kurangnya 7 gred A dan dua penerima Anugerah kecemerlangan yang mendapat gred A terbanyak iaitu Awang Muhammad Musa Saifullah bin Mohammad Sateria Alam Shah yang mendapat gred 5A*4A serta Dayang Nur Erdina Huda binti Damit @ Muhammad Dani yang mendapat gred 4A*5A.
Penyampaian hadiah dan sijil kepada penerima telah disempurnakan oleh Haji Hairul Mohd Daud.
Majlis penyampaian hadiah dan sijil kepada pelajar-pelajar terbaik dalam akademik berkenaan merupakan salah satu aktiviti tahunan yang dilaksanakan oleh Maktab Sains dalam usaha untuk membentuk, melahirkan dan menampilkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik.