Monday, January 20, 2025
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar perlu miliki ilmu dunia, akhirat

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Para mahasiswa dan mahasiswi adalah suluh bangsa dan negara, bahkan suluh kepada diri, mereka adalah pembawa suluh iaitu ‘ilmu’ sama ada ilmu dunia dan ilmu akhirat.

    Perkara tersebut dijelaskan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, ketika menyampaikan ucapan nasihat yang berlangsung di DarulIfta Brunei Darussalam, kelmarin, bagi penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam di Australia, New Zealand dan Malaysia yang sedang bercuti di bawah Program Pendidikan Penuntut-penuntut Brunei di Australia, New Zealand dan Malaysia.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan ilmu-ilmu dunia semua kita sudah tahu dan selama bukan ilmu sihir, semua ilmu dunia diperlukan.

    “Ilmu bahasa perlu, ilmu matematik perlu, ilmu perubatan moden perlu, ilmu pertanian perlu dan lain-lain, sementara ilmu agama atau ilmu akhirat adalah lebih perlu,” tegas Yang Berhormat Pehin.

    Yang Berhormat Pehin dalam ucapan nasihat turut mengingatkan supaya menghidupkan agama dalam diri masing-masing, dan jangan biarkan agama layu, tetapi siramlah ia selalu-selalu dengan ‘air amal’ walau sedikit.

    Yang Berhormat Mufti Kerajaan semasa menyampaikan ucapan nasihat pada acara tersebut. – GAMBAR SERAHAN JMK
    Yang Berhormat Mufti Kerajaan bergambar ramai bersama penuntut-penuntut Brunei di Australia, New Zealand dan Malaysia. – GAMBAR SERAHAN JMK

    Sebagai menghidupkan agama dalam diri, tambah Yang Berhormat Pehin, jangan berenggang dengan ‘Bismillahir Rahmanir Rahim,’ apa juga pekerjaan hendaklah dimulakan dengan Bismillah.

    “Khusus para pelajar, bila membuka dan membaca buku, atau nota pelajaran, atau menulis, atau menjawab soalan-soalan peperiksaan, maka mulai semuanya itu dengan Bismillah, jangan sekali-kali lupa Bismillah,” katanya.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan selain keperluan memagar diri dengan ayat-ayat Allah, khasnya dengan Bismillah sepatah, juga menjadi keperluan asasi ialah menjaga kesihatan.

    Mengenai kesihatan, tegasnya, banyak perkara perlu diperhatikan, terutama hal ehwal pemakanan.

    Selain memberi contoh untuk sihat, jangan sekali-kali terlibat dengan alkohol (arak) dan juga rokok. Arak adalah racun, ianya berpotensi untuk membunuh jika sampai ketagih, yang mana kedua-dua benda ini biasa mengundang barah.

    Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan tiga punca utama kematian adalah kanser, kardiovaskular dan sesak nafas. Diramalkan kematian akan mening-kat sehingga dua juta pada tahun 2025.

    Perkara ini, tegasnya, perlu jadi iktibar dan para pelajar menjadi pendukung utamanya.

    “Brunei adalah satu-satunya negara di dunia yang telah mengharamkan rokok dan merokok sejak hampir 25 tahun.

    “Inilah Brunei dengan rokok di bawah kepimpinan bijaksana raja kita yang beriman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,” tegas Yang Berhormat Pehin.

    Program Pendidikan Penuntut-penuntut Brunei di Australia, New Zealand dan Malaysia ini adalah bagi pelajar-pelajar yang menjalani percutian dwi-tahunan di bawah skim Biasiswa Kerajaan, Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan dan Pelajar Persendirian dan diadakan oleh Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda