SEOUL, 13 JULAI – Pelajar perubatan di Korea Selatan yang memboikot sesi pembelajaran bagi membantah rancangan kerajaan untuk menambah pengambilan pelajar di fakulti perubatan, pada Sabtu mengumumkan mereka akan kembali ke kampus selepas hampir 17 bulan, lapor agensi berita Yonhap.
Persatuan Pelajar Perubatan Korea membuat pengumuman itu dalam sidang media bersama jawatankuasa pendidikan dan kebajikan Parlimen serta Persatuan Perubatan Korea.
“Kami akan kembali ke kampus dengan meletakkan kepercayaan kepada Parlimen dan kerajaan, dan beriltizam untuk menormalkan semula pendidikan perubatan serta sistem penjagaan kesihatan,” menurut kenyataan bersama kumpulan itu, tanpa menyatakan tarikh sebenar kemasukan semula ke kampus.
Mereka turut menggesa kerajaan mengambil langkah memulihkan jadual akademik dan menubuhkan badan perunding bagi memperbaiki persekitaran latihan perubatan dalam jangka panjang.
Pengumuman itu dibuat hampir 17 bulan selepas ribuan doktor pelatih meninggalkan tugas, manakala ramai pelajar perubatan memulakan boikot kelas sejak Februari tahun lepas, sebagai bantahan terhadap keputusan kerajaan menambah pengambilan pelajar sekolah perubatan sebanyak 2,000 orang bermula tahun ini.
Kementerian Pendidikan sebelum ini mengumumkan bahawa seramai 8,305 pelajar di 40 fakulti perubatan seluruh negara akan dikenakan penangguhan gred, yang mewajibkan mereka mengulangi tahun akademik bersama pelajar lebih muda.
Walaupun kerajaan kemudian membuat pusingan U dengan memutuskan untuk mengembalikan kuota tahun 2026 kepada jumlah asal kira-kira 3,000 orang, sebahagian besar doktor pelatih dan pelajar perubatan masih belum kembali sepenuhnya ke hospital dan fakulti. – Bernama
