BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Pelajar yang sedang mengikuti jurusan Diploma dalam Reka Bentuk Dalaman dari Politeknik Brunei mengadakan lawatan sambil belajar ke Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) pada 26 September 2019.
Kumpulan pelajar disambut oleh Pengetua Eksekutif ISB, Laura Thomas apabila tiba di sekolah berkenaan. Diketuai oleh Jurutera Fasiliti ISB, RJay Yonder, pelajar dan pensyarah seterusnya dibawa melawat kemudahan-kemudahan dalam sekolah di mana mereka berpeluang melihat reka bentuk yang menarik dan bersepadu yang ada.
Antara tujuan lawatan adalah untuk mendedahkan pelajar kepada seni bina bangunan yang mempunyai ciri-ciri institusi dan reka bentuk mapan, yang boleh membantu pelajar dengan projek reka bentuk serta modul kursus mereka.
ISB dalam kenyataan itu berkata selaras dengan tujuan lawatan dan juga Falsafah Hijau ISB, ISB ialah sekolah eko pertama di Borneo yang menerima pentauliahan Greenmark dari Pihak Berkuasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) Singapura atas reka bentuk hijau dan persekitaran mesra alam.
