JAKARTA, 9 MEI – Pelajar remaja di Indonesia yang ponteng sekolah atau terlalu banyak bermain permainan video mungkin akan dihantar ke kem latihan ketenteraan jika projek perintis disiplin yang dilancarkan di sebuah wilayah bulan ini berjaya, kata seorang menteri kerajaan kepada AFP pada hari ini.
Lebih daripada 270 pelajar remaja di Jawa Barat yang dianggap bermasalah telah dihantar ke berek tentera di bawah satu skim yang dilancarkan bulan ini oleh gabenor wilayah tersebut, lapor media tempatan.
Menteri Hak Asasi Manusia, Natalius Pigai, memuji projek tersebut dan menyatakan sokongan beliau terhadap pelaksanaan program itu di seluruh negara.
Beliau mengulangi sokongan itu kepada AFP hari ini.
“Jika ia berjaya dari segi hak asasi manusia…maksudnya pendidikan dilaksanakan dengan betul serta terdapat peningkatan dalam kapasiti mental, kompetensi, disiplin dan tanggungjawab, maka ia boleh dilaksanakan secara nasional,” katanya.
Program itu bertujuan menggalakkan perubahan gaya hidup dalam kalangan pelajar di wilayah itu, kata Gabenor Dedi Mulyadi kelmarin selepas mendapati ramai pelajar berjaga malam bermain permainan video, ponteng sekolah atau terlibat dalam pergaduhan. – AFP
