Wednesday, April 16, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar program BIBD ALAF diraikan

    Oleh Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Seramai 31 orang pelajar baharu pengambilan ke-11 Sesi Akademik 2024 bagi program Dana Bantuan Pembelajaran Sepanjang Hayat Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD ALAF) dari 24 buah sekolah rendah dan tujuh buah sekolah menengah telah diraikan pada Majlis Penganugerahan BIBD ALAF dan Majlis Penyampaian Anugerah Bintang BIBD ALAF yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, hari ini.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian anugerah tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD.
     
    Terdahulu majlis penganugerahan tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri, dalam ucapannya antara lain mengongsikan bahawa dua penuntut iaitu Awang Mohammad Firdaus bin Mohd Salleh dan Awang Muhammad Masnur Alimin Hisyam bin Masri masing-masing akan melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Kuala Lumpur, Malaysia.
     
    Awang Mohammad Firdaus akan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang Fiqh dan Usul Al-fiqh manakala Awang Muhammad Masnur Alimin Hisyam akan melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.
     
    Perjanjian tersebut menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan akademik mereka, menggariskan komitmen BIBD untuk menyokong aspirasi pendidikan pelajar daripada segmen sasaran dan mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat.
     
    “Pada awal tahun ini, seorang penuntut iaitu Dayang Siti Nurul Izzah Adila binti Arfian telah melanjutkan pelajaran di Universiti Monash, Australia, dalam bidang Farmasi,” jelasnya lagi.
     
    Beliau turut mengongsikan bahawa mereka yang mendapat markah purata A dan B, menerima hadiah galakan berupa trofi, sijil penghargaan serta wang tunai bernilai $200 dan $150 bagi setiap kategori.
     
    Majlis diselajurkan dengan meraikan seramai 78 penuntut BIBD ALAF yang telah berjaya mencapai prestasi dalam peperiksaan tahun akademik 2023.
     
    Turut hadir di majlis itu, setiausaha tetap, pegawai kanan kerajaan, kakitangan dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, pihak pengurusan dan wakil dari BIBD.
     
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai bersama penerima anugerah BIBD ALAF. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda