Monday, July 14, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar PSR diraikan dalam majlis kesyukuran

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 30 Nov – Sebagai menghargai pencapaian pelajar yang berjaya mendapatkan Gred ‘A’ hingga ‘C’ dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2017, Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara (PSN) Pengiran Mohd Yusof Lorong Tiga Seria telah mengadakan Majlis Kesyukuran PSR yang berlangsung di dewan serba guna sekolah itu, di sini, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian Sijil Akademik ialah Pegawai Pelajaran/Penolong Guru Besar Sekolah Rendah PSN Pengiran Mohd Yusof, Judith Liew Min Chao.

    Di majlis itu, seramai 19 orang pelajar berjaya mendapatkan Gred ‘A’ hingga ‘C’ bagi lima subjek teras dalam Peperiksaan PSR 2017, telah menerima hadiah dan sijil. Majlis berkenaan turut bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara ibu bapa dan penjaga dengan guru-guru Tahun 6 sekolah itu.

    Semasa berucap di majlis itu, Judith Liew Min Chao berkata, kejayaan setiap pelajar tidak hanya terletak pada usaha dan kesungguhan guru semata-mata, tetapi ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk mencorak masa hadapan anak-anak mereka.

    Bagaimanapun, tambahnya, kejayaan yang sebenarnya terletak di tangan pelajar itu sendiri dan mereka yang telah mencapai kejayaan cemerlang adalah juga berlaku dengan adanya komitmen dan motivasi diri mereka yang tinggi.

    Dayang Hayati ketika menyampaikan hadiah dan sijil pelajar terbaik mengikut mata pelajaran dan kedatangan terbaik.

    “Kehadiran ibu bapa serta penjaga dalam setiap acara, majlis atau program sekolah, khususnya yang menjurus kepada bahagian akademik, ia boleh memberikan impak yang kuat, malah sebagai suntikan semangat kepada anak-anak mereka, sebaik mana pun aktiviti atau program yang dirancang oleh pihak sekolah, ianya tidak akan berjaya dan berkesan jika tiada mahupun kurangnya sambutan daripada kehadiran ibu bapa dan penjaga,” ujarnya lagi.

    Sementara itu, Guru Besar sekolah, Dayang Hayati binti Haji Ismail dalam ucapan alu-aluannya pula menjelaskan, seramai 18 orang pelajar daripada 44 orang calon yang menduduki Peperiksaan PSR di sekolah itu telah lulus dengan mendapat Gred ‘A’ hingga ‘C’, yang mana menurutnya, keputusan itu menurun sebanyak 8.27 peratus dan tiada calon yang berjaya mendapatkan 5’A’.

    “Kami berharap keputusan tersebut dijadikan sebagai pemangkin semangat untuk kejayaan di masa akan datang, kerana gagal dalam PSR bukanlah bererti gagal untuk selamanya, anggaplah sebagai bekalan dan cabaran untuk menempuh pengajian kamu di sekolah menengah nanti,” katanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda