Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Rombongan lapan orang dari Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) berpeluang mengetahui lebih dekat mengenai fungsi dan tanggungjawab Bahagian Pelita Brunei sebagai sumber maklumat sahih serta mempelajari mengenai pengumpulan bahan terbitan serta proses penyuntingannya menerusi lawatan sambil belajar ke Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.
Diketuai Guru Pengawas Badan Bahasa dan Sastera PTES, Dayang Suziah binti Haji Mohd Yussof, lawatan berkenaan disertai oleh tujuh orang pelajar.
Rombongan berkenaan dialu-alukan oleh Pegawai Penerangan, Awang Mohammad Rainie bin Haji Durani dan Dayangku Nasibahanim binti Pengiran Haji Bakar yang seterusnya menyampaikan penerangan mengenai Pelita Brunei.
Semasa lawatan berkenaan, rombongan mendengarkan penerangan mengenai proses kerja penerbitan Pelita Brunei, laman sesawang Pelita Brunei yang memuatkan berita terkini setiap hari, ruang-ruang yang terdapat dalam Pelita Brunei yang terbuka kepada penyertaan orang ramai atau pembaca seperti Minda Pembaca, Alai Pintar dan Apa Pendapat Biskita.
Taklimat itu juga mengongsi mengenai struktur dan fungsi Bahagian Pelita Brunei iaitu membuat liputan berita keberangkatan kerabat diraja dalam dan luar negara termasuk berita-berita tempatan, menyampaikan maklumat, aktiviti, dasar kerajaan kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam termasuk ke kawasan pedalaman.
Semasa lawatan sambil belajar itu, rombongan juga berpeluang mendengarkan penerangan mengenai kerja-kerja reka letak Pelita Brunei yang disampaikan oleh Pereka Tingkat 1, Haji Khairulanwar bin Haji Ibrahim selaku ketua meja reka kreatif.
