CANBERRA, Australia, 25 Ogos – Seorang pelajar ditahan oleh polis selepas menyerang pensyarahnya dan tiga orang rakannya dengan menggunakan kayu pemukul besbol hari ini di dalam kelas di Universiti Kebangsaan Australia, menurut polis.
Sejurus selepas pukul 9 pagi, pelajar itu berdiri dari tempat duduknya bersama kayu pemukul bola besbol dan menghampiri pensyarah yang beradai hadapan kelas, menurut Persekutuan Polis Australia.
Pelajar-pelajar lain di kelas itu campur tangan dan cuba menahan penyerang, tetapi dia menyerang empat orang, termasuklah pensyarah.
Mereka dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan serius tetapi tidak membahayakan nyawa mereka, dengan kecederaan termasuklah patah tulang.
Pihak polis dipanggil ke universiti itu dan kemudian menahan penyerang itu, Superintenden Penyiasat Polis Ben Cartwright memberitahu para pemberita.
Cartwright memuji ‘keberanian hebat pelajar-pelajar itu untuk melindungi pensyarah.
Cartwright berkata ketika serangan seorang pelajar berjaya mengambil kayu pemukul dari penyerang itu dan berlari pergi bersama kayu pemukul itu.
Penyerang, lelaki berusia 18 tahun tidak memiliki senjata lain bersamanya, ujarnya lagi.
Dia bukan dalam pemerhatian polis atau agensi perisikan dan motifnya tidak diketahui. Dia belum didakwa berhubung serangan itu dan pihak polis belum mendedahkan namanya. – AP