Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT 18 Feb – Kira-kira 50 orang pelajar Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam cawangan Daerah Belait telah dihiburkan dengan persembahan Tarian Singa semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka di kediaman Pengarah Urusan Syarikat Lim and Ho Employment Agency di Jalan Maulana, di sini, hari ini.
Majlis Rumah Terbuka yang diadakan oleh keluarga tersebut setiap tahun, bukan saja dibukakan untuk kunjungan dalam kalangan saudara mara, sahabat handai, rakan-rakan seperniagaan, tetapi juga mengundang sama pelajar-pelajar pusat tersebut selain beberapa orang anak-anak yatim.
Pengurus syarikat tersebut, Lim Thian Ming memberitahu, Sambutan Tahun Baharu Cina mereka begitu meriah dengan kehadiran pelajar-pelajar istimewa itu bersama ibu bapa dan penjaga mereka.
Pada sambutan tahun ini, tambahnya, mereka mengundang beberapa persembahan Tarian Singa yang khususnya untuk menghiburkan pelajar-pelajar pusat berkenaan dan juga orang ramai yang berkunjung daripada berbagai-bagai bangsa dan kaum.
Bersempena Sambutan Tahun Baharu Cina, Pengarah Urusan syarikat tersebut, Fenny Ho Kin Juan turut menghulurkan cenderahati berbentuk sampul merah (angpau) kepada pelajar-pelajar tersebut dan kanak-kanak lainnya yang berkunjung ke rumah terbuka mereka.
Pengurus Pusat Ehsan cawangan Daerah Belait, Dayang Hamimah binti Haji Sapar pula memberitahu bahawa setiap kali Sambutan Tahun Baharu Cina, pelajar-pelajar mereka akan diundang bagi sama-sama memeriahkan majlis rumah terbuka keluarga berkenaan.
Dalam masa yang sama, tambah beliau, ia turut menggembirakan pelajar-pelajar mereka semasa menyaksikan persembahan Tarian Singa dan pelajar-pelajar akan menunjukkan gelagat masing-masing seperti turut sama menari dan sebagainya.
“Saya bagi mewakili ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar merakamkan penghargaan kepada pengurus syarikat ini serta keluarga yang setiap tahun tidak pernah ketinggalan mengundang kami untuk bersama-sama memeriahkan sambutan tahun baharu mereka dengan menyediakan berbagai-bagai hidangan yang istimewa,” ujarnya.