SEOUL, 28 APRIL – Seorang pelajar remaja menikam sekurang-kurangnya empat orang, tiga daripadanya cedera parah, dalam serangan menggunakan pisau di sebuah sekolah menengah di Korea Selatan hari ini, menurut pihak polis.
Serangan itu berlaku sekitar jam 8:36 pagi di sebuah sekolah di Cheongju, 110 kilometer, selatan Seoul, menurut laporan polis.
Pihak polis menerima laporan bahawa “seorang pelajar telah menikam seseorang di dalam bilik darjah dengan pisau,” kata Agensi Polis Wilayah Chungbuk dalam satu kenyataan yang dihantar kepada wartawan.
Tiga individu yang cedera parah termasuklah pengetua sekolah yang mengalami kecederaan di bahagian abdomen.
Seorang kakitangan kerajaan turut ditikam di bahagian dada dan seorang pekerja pembersihan sekolah ditikam di belakang, menurut polis. – AFP
