Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-sekolah dan Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) telah menyelaras penyertaan bagi empat orang pelajar dan seorang guru dari Sekolah Menengah Rimba untuk menyertai Kem Belia ASEAN (AYC) 2025.
Program tersebut akan diadakan pada 17 hingga 20 Jun di Pathum Thani, Thailand.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi mengucapkan selamat belayar kepada para peserta hari ini ialah Pengarah Sekolah-sekolah, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Marina Chek binti Bujang.
Dianjurkan oleh Pusat Serantau SEAMEO untuk Pendidikan STEM (SEAMEO STEM-ED) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Thailand dan Muzium Sains Negara Thailand, kem ini menyediakan platform untuk golongan belia meneroka peranan kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar dan pembangunan lestari.
Pelajar-pelajar yang mewakili Negara Brunei Darussalam ialah Awang Ahmad Razeen bin Adi Shahreen, Dayang Syahirah binti Salamat, Dayang Insyirah Bilqis binti Muhammad Firdaus, dan Awang Ahmad Khairi Zakwan bin Haji Mohd Marzuki, diiringi oleh guru mereka, Lena Ang Yan Ping selaku ketua delegasi.
Para peserta akan menyertai sesi latihan secara dalam talian dan aktiviti hackathon secara bersemuka, di mana mereka akan bekerjasama dengan belia dari seluruh Asia untuk menangani cabaran kelestarian berasaskan AI. Program ini turut merangkumi bengkel kepimpinan, pertukaran budaya, serta lawatan pendidikan termasuk ke Muzium Sains Negara Thailand.
Bertemakan AI Hackathon for Green Sustainability, kem tersebut menghimpunkan golongan belia dan pendidik dari negara-negara anggota ASEAN, Timor-Leste, China, Jepun, dan Korea Selatan. AYC 2025 bertujuan memperkasakan belia Brunei dengan kemahiran abad ke-21 dalam bidang AI, kerja berpasukan, dan kewarganegaraan global, di samping menggalakkan jaringan dan kerjasama dalam kalangan belia serantau.
Turut hadir di LTAB ialah pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan dari Jabatan Sekolah-sekolah; Pusat STEP, serta ibu bapa dan ahli keluarga pelajar.


