Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar sertai program belia peringkat ASEAN di Bangkok

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Seramai 10 anak tempatan telah berlepas ke Bangkok, Thailand baru-baru ini bagi menghadiri Program eMpowering Youths Across ASEAN: Kohort 5, setelah terpilih sebagai antara 100 sukarelawan belia.

    Acara berkenaan adalah sebagai platform untuk belajar melalui pengalaman menyertai aktiviti sukarelawan sosial yang dianjurkan melalui kerjasama antara Yayasan Maybank dan Yayasan ASEAN.

    Sukarelawan belia-belia yang terpilih akan menghadiri bengkel orientasi dari 19 hingga 24 Julai di Universiti Chulalongkorn di Bangkok, Thailand sebelum menyertai projek dengan organisasi masyarakat dari 24 Julai hingga 6 Ogos.

    Peserta akan bekerjasama dengan mereka yang dari pelbagai latar belakang untuk melaksanakan idea mereka dan menyokong penyelesaian kepada isu-isu yang berasaskan masyarakat tempatan di seluruh ASEAN dan menyelidiki perjalanan yang berkesan untuk membuat perubahan ketara dan bermakna di kalangan masyarakat sasaran seperti di Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, dan Vietnam.

    Sejak pelancarannya, program tersebut telah mempunyai empat kohort yang disertai seramai 382 Sukarelawan Belia dan telah bekerjasama dengan 31 organisasi masyarakat sivil dan syarikat perusahaan sosial dan secara langsung memberi kesan kepada 89,402 ahli komuniti di seluruh ASEAN.

    Bengkel ini antara lain bertujuan untuk terus memperbaiki reka bentuk dan pelaksanaan projek melalui maklum balas pihak berkepentingan termasuk pandangan alumni selain memupuk peluang untuk membina rangkaian serta bimbingan sekali gus membina komuniti pembangunan belia serantau yang lebih kuat.

     

    Antara sukarelawan belia-belia yang terpilih. 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda