Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 3 April – Bersempena cuti sekolah, hampir 40 orang pelajar Sekolah Menengah Chung Hua Kuala Belait bersama beberapa orang guru telah membuat lawatan di Taman Peranginan Hutan Hujan Tropika Borneo, Miri, baru-baru ini.
Lawatan tersebut bukan sahaja untuk mengisikan masa percutian tetapi juga bertujuan untuk menambahkan pengetahuan dan pengalaman pembelajaran di luar sekolah sambil berseronok.
Sepanjang lawatan itu, para pelajar turut berpeluang melihat keindahan persekitaran dan mendengarkan taklimat mengenai flora dan fauna yang terdapat di taman peranginan berkenaan.
Rombongan pelajar juga berkesempatan menaiki feri untuk menyaksikan pelbagai jenis ikan di sepanjang sungai kawasan taman peranginan berkenaan, di samping menyertai beberapa aktiviti termasuklah permainan Flying Fox dan sebagainya.

Bagaimanapun, bagi sebahagian pelajar daripada rombongan tersebut yang tidak dapat menyertai aktiviti utama semasa lawatan itu atas alasan tertentu, memilih untuk berseronok di kawasan kolam renang yang turut terdapat di taman berkenaan.
Sebelum perjalanan balik ke tanah air, para pelajar turut diberikan peluang untuk meluangkan sedikit masa membeli-belah di Pusat Beli-Belah Bintang Megamall.