BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan telah mengadakan taklimat kenegaraan ‘Menghayati Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara’ kepada pelajar-pelajar Tahun 7, Sekolah Menengah Menglait di dewan sekolah berkenaan, kelmarin.
Taklimat disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Hajah Rosidah binti Haji Ismail yang antara lain menyentuh mengenai tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’.
Selepas taklimat, para pelajar turut menyaksikan dua klip video ‘Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara’ dan ‘Kibarkanlah Bendera Negara Kitani’ serta video animasi ‘Tatacara Mengibarkan Bendera’, menurut kenyataan yang diterima di sini, hari ini.
Selain itu, para pelajar juga berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan yang disampaikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Awang Mohammad Khaiddir Shah bin Haji Abdul Halim.
Taklimat kemudian diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para penuntut yang berjaya menjawab Kuiz Kenegaraan dan penyampaian cenderamata kepada pihak sekolah.
Program yang dihadiri oleh Pengetua Sekolah, Awang Mohidin bin Haji Noordin, guru-guru dan 158 orang pelajar Tahun 7 sekolah berkenaan adalah salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri dalam menyemai semangat patriotisme para pelajar untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara.