Khamis, November 20, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar SM Muda Hashim sertai program pertukaran ASEAN-Jepun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Tujuh pelajar dan seorang guru dari Sekolah Menengah Muda Hashim, Tutong (SMMHT) telah menyertai Program Pertukaran Belia Jenesys Sukan ASEAN-Japan X Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), yang berlangsung di Tokyo dan Fukushima, Jepun bermula hari ini hingga 4 November.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, menyatakan Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Sekolah-sekolah (JSS) telah menyelaras penyertaan rombongan berkenaan dalam program selama lapan hari itu.
    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada para peserta ialah Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, JSS, Kementerian Pendidikan, Awang Ali Hamdani bin Haji Mohd Diah.

    Turut hadir, pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan dari JSS serta ibu bapa dan ahli keluarga pelajar.

    Program Pertukaran Belia Jenesys Sukan ASEAN-Japan X SDGs . – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Program itu antara lain bertujuan untuk memupuk kerjasama antara Jepun dan negara-negara ASEAN dalam menyokong SDG, iaitu inisiatif bersama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan negara-negara ahlinya, melalui sukan bola sepak sebagai platform sokongan.

    Selain itu, program berkenaan juga menjadi wadah pembelajaran serta peluang untuk memperkenalkan budaya masing-masing, di samping memfokuskan kepada pertukaran sosio-budaya dan memperkukuh hubungan erat serta kerjasama yang sedia terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun.

    Semasa lawatan itu, para pelajar bersama guru pembimbing akan berpeluang untuk meneliti dengan lebih dekat sistem pendidikan di sekolah serta sistem industri bola sepak di Jepun.

    GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Mereka juga akan berpeluang menyertai sesi pembelajaran dan aktiviti bersama rakan pelajar dari 11 buah negara ASEAN yang lain.

    Seramai 88 peserta telah mendaftar bagi mengikuti program berkenaan, yang bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang konsep ‘hidup berdikari’ di luar negara sebagai usaha memperkukuh keberkesanan pengalaman pembelajaran mereka.

    Program itu juga membolehkan mereka mendalami usaha sama yang telah dipupuk oleh setiap kelab bola sepak di J.League serta Pasukan Kebangsaan Bola Sepak Jepun dalam menyokong pencapaian SDG.

    Di samping itu, para pelajar turut berpeluang melawat tempat-tempat menarik, fasiliti sukan dan lokasi bersejarah di Jepun bagi mempelajari sejarah serta kebudayaan negara berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda