Saturday, November 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar SMARTER lawat Perpustakaan Lambak Kanan

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Pelajar-pelajar SMARTER Brunei, pagi tadi, mengadakan lawatan ke Perpustakaan Lambak Kanan sebagai sebahagian daripada program lawatan bulanan mereka.

    Rombongan seramai 10 orang pelajar Bahagian Perkembangan Awal dan Bahagian Kemahiran Kehidupan Berdikari bersama guru-guru pengawas berkenaan dialu-alukan oleh kakitangan perpustakaan tersebut.

    Ahli Terapi Kanan SMARTER Brunei, Marvin Brigoli berkata, lawatan berkenaan adalah sebagai aktiviti bulanan SMARTER Brunei yang diadakan pada Selasa dan Rabu.

    “Tinjauan ke perpustakaan ini akan dapat memperluaskan pemandangan mereka ke persekitaran luar, terutama kanak-kanak istimewa yang mana ada ibu bapa tidak mahu membawa mereka keluar rumah kerana khuatir mereka akan menangis.”

    Dengan adanya lawatan ini, mereka akan dapat mempelajari dan memahami persekitaran luar seperti di perpustakaan ini sehingga mereka biasa di samping mengikut aktiviti-aktiviti disediakan oleh Perpustakaan Lambak Kanan.

    Sesi bercerita bersama kanak-kanak autisme dikendalikan oleh kakitangan perpustakaan.
    Sesi bercerita bersama kanak-kanak autisme dikendalikan oleh kakitangan perpustakaan.

    Antara aktiviti disediakan adalah sesi bercerita bersama kanak-kanak autisme yang dikendalikan oleh kakitangan perpustakaan, sesi audio visual mengenali fonik melalui nyanyian dari cakera padat dan sesi membuat aktiviti dalam bilik mesra autisme.

    Selain membuat tinjauan ke Bilik Sudut Siber, Perpustakaan Kanak-kanak, dan Perpustakaan Muda-Mudi, perpustakaan itu juga mempunyai Ruang Bacaan Mesra Autisme.

    Ruang Bacaan Mesra Autisme iaitu perpustakaan mesra autisme khas itu merupakan yang pertama di Negara Brunei Darussalam.

    Perpustakaan tersebut menyediakan ruang khusus untuk pengguna-pengguna autisme yang dilengkapi dengan peralatan-peralatan yang dapat mereka gunakan untuk menenangkan diri dan mengembalikan fokus mereka.

    Perpustakaan yang dibuka setiap hari kecuali Jumaat dan hari kelepasan awam ini dibuka rasmi pada 18 Mac 2008.

    Bangunan Perpustakaan Lambak Kanan dilengkapi dengan berbagai-bagai kemudahan seperti ruang pembaca, kaunter peminjaman, bilik perbincangan, ruang bacaan kanak-kanak serta surau dengan menelan belanja $975,525.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda