BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Lebih 100 pelajar Tahun 7 hingga 10 dari Sekolah Menengah Sayidina Hasan (SMSyH) telah mengikuti Program Celik Kewangan yang berlangsung di dewan serbaguna sekolah baru-baru ini.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran awal mengenai kepentingan pengurusan wang dalam kalangan remaja.
Penceramah jemputan dari Goodlife Financial Planning Sdn Bhd, Dayang Eunice Low Wan Chin, menyampaikan ceramah bertajuk Money Basics for Students: Simple, Fun, Smart, yang menekankan kepentingan merancang serta mengurus kewangan secara bijak sejak usia muda.

Pengetua SMSyH, Cikgu Moss Bin Mat Juni, dalam ucapannya berharap program seperti ini dapat membantu pelajar membina kemahiran penting dalam kehidupan masa depan dengan mengamalkan tabiat kewangan yang baik termasuk menabung, berbelanja secara berhemat dan membuat keputusan kewangan yang bertanggungjawab.
Sepanjang program, para pelajar mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti interaktif seperti kuiz, permainan serta sesi soal jawab berkaitan pengurusan kewangan asas.
Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Business, Art and Technology (BEATS) dengan sokongan jabatan-jabatan lain di SMSyH serta kerjasama Goodlife Financial Planning Sdn Bhd.




