Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 31 Ogos – Seramai 34 orang pelajar berkeperluan khas termasuk guru-guru dari Sekolah Rendah (SR) Keriam bersama ibu bapa telah mengadakan lawatan ke Balai Bomba Bukit Beruang, Tutong, pagi tadi.
Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh Stesen Komander Balai Bomba Bukit Beruang, Pegawai Balai Yahya bin Sahat yang seterusnya menyampaikan taklimat mengenai Balai Bomba Bukit Beruang.
Acara seterusnya diikuti dengan penyampaian poster tatacara penggunaan alat-alat pemadam api yang disampaikan oleh Penguasa Kanan Bomba Awang Tahir bin Haji Muktal kepada salah seorang guru sekolah, Hajah Ratnawati binti Haji Muhammad selaku ketua rombongan.
Dalam lawatan itu, para pelajar kelihatan begitu teruja untuk menyaksikan lebih dekat lagi kemudahan-kemudahan yang terdapat di balai tersebut termasuk merasai pengalaman menaiki dan memasuki jentera bomba dan juga didedahkan dengan tugas serta peranan anggota bomba dalam memadam kebakaran.
Adapun tujuan lawatan tersebut adalah untuk mengenali lebih dekat lagi mengenai tanggungjawab Jabatan Bomba dan Penyelamat dan seterusnya mendalami pengetahuan mengenai alat-alat pemadam api yang sesuai digunakan bagi mencegah kebakaran.