Oleh Daniel Lim –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Pelajar Sekolah St John menyemarakkan suasana dengan semangat perpaduan dan harmoni menerusi keindahan bahasa sempena sambutan Hari Pesta Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu yang berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan, kelmarin.
Acara tersebut melibatkan penyertaan pelajar daripada peringkat Tadika hingga Tahun 11 yang merupakan satu siri persembahan dan drama dalam bahasa Inggeris dan Melayu yang menggambarkan budaya dan tradisi sekolah dan negara.
Campuran bahasa itu membantu mewujudkan peluang kepada pelajar untuk menyatakan diri mereka melalui bahasa yang mereka gunakan setiap hari. Dalam ucapan perasmian yang disampaikan dalam bahasa Melayu, Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah, Matthew Lim Toh Loy, menjelaskan bahawa festival berkenaan diadakan bertujuan memupuk kecintaan pelajar terhadap penggunaan bahasa dalam kehidupan seharian mereka.
“Selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bahasa, festival ini juga bertujuan untuk menyerlahkan bakat pelajar, meningkatkan kreativiti mereka dan memupuk semangat kerjasama dalam kalangan pelajar,” jelas beliau. Sementara itu, pengerusi penganjur dan salah seorang guru sekolah berkenaan, Alexandra Anak Sibuang, dalam ucapannya dalam bahasa Inggeris, menekankan kepentingan festival sebagai sambutan berterusan terhadap kepelbagaian bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian.
“Tidak kira sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu, bahasa adalah medium yang menghubungkan idea, budaya dan kreativiti – sekali gus menghidupkan ekspresi diri,” jelas beliau lagi.





