Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Lebih 170 pelajar Tahun 6 dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) telah menghadiri Bengkel Motivasi Pelajar Cemerlang sebagai persediaan untuk peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR)
2023.
Bengkel yang berlangsung di Dewan Serbaguna sekolah berkenaan telah dimudahcarakan oleh Ketua Fasilitator dari BeManfaat Management Services, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi.
Dalam acara tersebut, beliau memberikan nasihat dan semangat kepada para pelajar untuk menghadapi peperiksaan PSR yang akan diadakan pada bulan Oktober nanti.
Turut hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pengetua SR YSHHB, Hajah Mariam binti Haji Ladi.
Bengkel tersebut bertujuan memberikan peluang kepada murid-murid untuk mempersiapkan diri secara akademik dan meningkatkan semangat diri demi mencapai
kejayaan.
Di samping itu juga, bengkel berkenaan juga bertujuan untuk menanamkan kesedaran mengenai pentingnya peperiksaan bagi masa depan pendidikan mereka.
