Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 29 Nov – Sekolah Arab Belait, hari ini, meraikan para pelajar yang memperoleh kecemerlangan dalam akademik pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Dewan Serba Guna, Sekolah Ugama Paduka Sultan Omar ‘Ali Saifuddien.
Sebagai sebahagian daripada aktiviti tahunan sekolah berkenaan, majlis berkenaan merupakan peluang untuk menunjukkan dan mengetengahkan pelajar terbaik dan cemerlang tahun ini di samping membantu memotivasikan dan mengaspirasikan mereka untuk terus berjaya pada masa depan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin. Turut hadir ialah guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan serta ibu bapa dan penjaga para pelajar yang diraikan.
Guru Besar Sekolah Arab Belait, Hajah Noramalina binti Haji Mohd Ali dalam ucapannya telah menyenaraikan pelbagai pencapaian akademik dan kokurikulum yang dicatatkan oleh para pelajar pada tahun akademik 2018.
Pada majlis itu, seramai 89 orang pelajar menerima anugerah bagi pelbagai kategori termasuk terbaik dalam kelas, kehadiran terbaik, terbaik dalam Pengesan Penilaian Pelajar (SAT), pelajar paling pintar dalam Peperiksaan Kemajuan Pelajar (SPE) bagi Tahun 8, pelajar terbaik dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan pelajar terbaik dalam akademik dan kokurikulum.
Di samping itu, majlis turut menghargai guru-guru yang memberikan sokongan berterusan kepada para pelajar. Guru-guru berkenaan menerima anugerah berdasarkan komitmen mereka dalam membantu dan menyokong para pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Majlis turut menyaksikan tiga anugerah diberikan kepada pelajar terbaik dari segi akademik, kokurikulum serta akademik dan kokurikulum, masing-masing kepada Dayang Nurfaqihah Khairunnisa binti Ibrahim, Awang Mohammad ‘Arief Zuhairi Chia Abdullah Syihab dan Awang Muhammad Syahmi Fahmi bin Haji Suhaimi. Majlis turut dimeriahkan dengan siri persembahan oleh pelajar-pelajar sekolah berkenaan, termasuk persembahan ‘Masrahiyah’, persembahan ‘Kalam Jama’ie’ dan nyanyian.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/11/P12-A_301118.jpg)