Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Seramai 100 orang pelajar dari Daerah Brunei dan Muara akan memulakan persekolahan 2025 mereka dengan barangan keperluan persekolahan baharu menerusi Program Bantuan Amal Kembali ke Sekolah yang diadakan di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, hari ini.
Program bantuan amal yang diadakan di keempat-empat daerah secara serentak itu dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui Jabatan-jabatan Daerah. Seramai 267 orang telah menerima bantuan di keempat-empat daerah.
Hadir selaku wakil kementerian di Daerah Brunei dan Muara serta menyempurnakan penyerahan bantuan amal kepada para pelajar ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut.
Turut hadir, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang terdiri daripada kalangan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), pemangku pegawai daerah, penghulu-penghulu mukim, pemangku-pemangku penghulu mukim, ketua-ketua kampung, pemangku-pemangku ketua kampung, KHEDN serta jemputan khas.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan berupa barangan keperluan sekolah seperti alat-alat tulis serta peralatan sekolah lain dan pakaian seragam sekolah kepada 100 orang pelajar dari Daerah Brunei dan Muara yang disampaikan oleh Awang Salminan.
Salah seorang penerima, Dayang Noor Ayumi Adriana Batrisya binti Mohd Payzrol menyatakan perasaan gembira kerana sumbangan peralatan sekolah yang diterima akan membantunya apabila memulakan pengajian persekolahan pada 2025.
Perasaan syukur dan gembira turut dikongsikan oleh Dayang Nur Alail Ramadhani binti Azman yang bakal memulakan pengajian Tahun 8 di Sekolah Menengah Rimba II.
Beliau menyatakan barangan itu bukan sahaja akan membantu dalam pembelajarannya tetapi ia juga merupakan sebagai pembakar semangat baginya untuk menempuhi pengajiannya.
Program Bantuan Amal Kembali ke Sekolah bermatlamat membantu meringankan beban perbelanjaan anak-anak yatim dan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dalam membuat persediaan persekolahan menjelang 2025.