Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Seramai 72 orang pelajar cemerlang Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) yang memperolehi gred 5A diraikan semasa Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 5A Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2020 di Dewan SR YSHHB, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sijil dan hadiah kepada para pelajar dan guru-guru ialah Penolong Pengarah Urusan III Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Hajah Donaliza binti Abdullah Puasa.
Pelajar yang diraikan terdiri daripada 34 orang pelajar lelaki dan 38 orang pelajar perempuan yang mendapat keputusan 5A dalam Peperiksaan PSR bagi 2020. Antara pelajar yang diraikan pada majlis tersebut ialah cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Pengiran Nur Aleeyah Syifa.
Majlis turut diserikan dengan Persembahan Bicara Berirama oleh pelajar SR YSHHB.
Antara yang menyertai persembahan berkenaan ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah dan cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah.
Pengetua SR YSHHB, Hajah Mariam binti Ladi dalam ucapannya antara lain menjelaskan bahawa acara berkenaan diadakan bagi meraikan kejayaan para pelajar yang berjuang tanpa lelah sejak Tahun 1 hinggalah Tahun 6 dan mencapai keputusan yang cemerlang dalam pengajian mereka.
Beliau turut mengongsikan bahawa 54.14 peratus iaitu 72 daripada 133 orang pelajar Tahun 6 keseluruhannya di sekolah berkenaan berjaya memperolehi keputusan cemerlang iaitu gred A dalam kesemua lima mata pelajaran yang mana meningkat sebanyak 8.2 peratus daripada tahun sebelumnya. Ia merupakan kejayaan kali ketiga sekolah berkenaan berjaya melepasi sasaran 50 peratus pelajarnya untuk mendapatkan keputusan 5A iaitu pada tahun 2002 dan tahun 2008.
Salah seorang pelajar cemerlang yang sempat ditemu bual, Awang Muhammad Ahlamihaziq bin Mohammad Waridi Aldrin @ Shafiq yang kini menyambung pembelajarannya dalam Tahun 7 di Sekolah Menengah YSHHB turut menzahirkan perasaan gembiranya apabila mendapat keputusan 5A pada Peperiksaan PSR tahun lalu.
“Saya berasa terharu kerana mendapat 5A dan tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang telah mengajar dan mendoakan kejayaan saya, semoga Allah SWT membalas segala jasa dan pengorbanan mereka selama ini.
“Bagi para pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan PSR pada tahun ini, dinasihatkan agar tekun dan lebih rajin belajar serta tidak berhenti berdoa dan yang paling penting menuruti perintah guru,” jelas Awang Muhammad Ahlamihaziq lagi.

