KUALA LUMPUR, 28 APRIL – Pelajar yang terjejas dengan penutupan sekolah di rantau Asia membangun akan kerugian AS$180 secara purata, mewakili penurunan 2.4 peratus dalam jangkaan pendapatan tahunan, menurut Bank Pembangunan Asia (ADB).
Nilai semasa bagi kerugian perolehan pada masa akan datang ini meningkat kepada anggaran AS$1.25 trilion, bersamaan 5.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) di rantau ini pada 2020, kata bank berkenaan menerusi penerbitan ekonomi utamanya, Prospek Pembangunan Asia (ADO) 2021.
“Dalam senario yang lebih optimis bagi keberkesanan pembelajaran secara jarak jauh ketika pandemik COVID-19, jumlah kerugian adalah bersamaan A$0.8 trilion (3.6 peratus daripada KDNK 2020).
“Bagaimanapun, senario pesimis pula meletakkan kerugian pada AS$1.8 trilion (7.6 peratus daripada KDNK),” katanya dan menurutnya kerugian pembelajaran dan pendapatan akan meningkat apabila semakin lama sekolah ditutup. – Bernama